MASALAH Teknikal Hampakan Hakim Danish, Danial Syahmi Di Perlumbaan Terakhir RBRC 2023, 'Terima Kasih Yang Menyokong'!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/11/20231 min read

TIADA penamat luar biasa dicatatkan dua pelumba negara Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril pada perlumbaan penutup tirai Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2023, semalam di San Marino, Misano.

Untuk Hakim Danish, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan kempen RBRC 2023 di tangga ke-12 keseluruhan selepas konsisten mengutip mata daripada kedua-dua perlumbaan di Misano untuk mengumpul 70 mata keseluruhan.

Tetapi bagi Danial Syahmi, pelumba kelahiran Pulau Pinang itu pulang tangan kosong pada kedua-dua perlumbaan dan menamatkan kempen di kedudukan ke-16 keseluruhan dengan mengumpul 40 mata.

Mengakui berjaya memperbaiki cara tunggangan dan pelarasan pada jentera pada Perlumbaan 2 berbanding Perlumbaan 1 yang menyaksikan dia bergelut terutama ketika menghadapi selekoh, Hakim Danish berkata ia masih sukar untuknya meletakkan diri di kelompk depan.

"Pada awal perlumbaan saya berada di kelompok depan kemudian pada pertengahan saya bergelut dan berada di belakang. Jadi, saya cuma berusaha untuk menamatkan perlumbaan," kata Hakim Danish yang turut mengucapkan terima kasih terutama kepada penaja, keluarga dan semua yang menyokongnya.

Sementara itu, Danial berkata masalah gear yang dihadapi pada jenteranya menyukarkannya untuk bersaing dengan pelumba lain.

"Saya mengalami masalah pada gear yang menyebabkan sukar untuk saya memintas perlumba lain dan menyebabkan saya brek lambat," kata Danial Syahmi.

"Masalah gear tersebut kadang-kadang buat saya susah untuk menurunkan gear dan kadang-kadang ia pergi ke 'neutral'. Di situ, ia membuatkan saya sedikit sukar untuk bersaing.

"Tetapi saya dah beri 100 peratus yang saya ada, malangnya ini adalah perlumbaan akhir saya dalam Red Bull Rookies Cup musim ini, dan ini bukan keputusan yang saya mahukan.

"Apapun, saya tamat dengan selamat kerana ada lagi perlumbaan yang saya perlu jalankan. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua penaja, RNF, SIC Racing dan ZK Racing. Terutama keluarga saya yang banyak mendoakan saya dan semua rakyat Malaysia.”