'MASALAH Terbesar Adalah Ducati Terlalu Dominan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/29/20251 min read


PELUMBA Honda, Luca Marini percaya masalah paling besar di MotoGP ketika ini adalah Ducati terlalu dominan.
Daripada 20 pusingan yang berlangsung musim lalu, Ducati menjuarai 19 perlumbaan Grand Prix dan 17 Sprint dengan kemenangan selebihnya diraih Aprilia.
Begitupun, statistik yang lebih 'menakutkan' adalah Ducati yang mempunyai jentera terbanyak di grid menakluk kesemua posisi podium dalam 18 pusingan yang turut menjadi rekod baharu.
Pengeluar Itali itu turut memonopoli kedudukan lima terbaik perlumbaan dalam enam pusingan, dengan Buriram menyaksikan Ducati mengisi kedudukan satu hingga lapan.
"Masalah terbesar bagi saya adalah hanya ada Ducati di atas," kata Marini yang juga bekas pelumba Ducati sebelum menyertai Honda pada musim lalu kepada Crash.net.
"Kita tidak pernah menghadapi situasi seperti ini sebelum ini dengan begitu banyak jentera di depan adalah daripada pengeluar yang sama.
"Sebelum ini ada Honda, Yamaha, Honda, Yamaha, Ducati. Dengan situasi seperti ini, saya fikir ia memberikan lebih rencah kepada kejuaraan.
"Tetapi kini, kamu hanya perlu berada di pihak (Jorge) Martin atau Pecco (Bagnaia) dan itu saja. Jadi bagi saya, ketika ini, ini adalah isu terbesar kejuaraan ini."
Pada musim lalu, empat pelumba Ducati mengisi kedudukan empat teratas diketuai Martin (Pramac Ducati), Pecco (Ducati Lenovo), Marc Marquez (Gresini Ducati) dan Enea Bastianini (Ducati Lenovo).
Pelumba terbaik bukan Ducati adalah Brad Binder yang mengisi kedudukan kelima namun hanya mengumpul keseluruhan 217 mata berbanding 508 yang dimiliki Martin.
