MASIH Banyak Perlu Dipertingkatkan - Hakim Danish

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/2/20251 min read

SEKALIPUN boleh dikatakan berjaya menampilkan kebangkitan terpuji khususnya pada Perlumbaan 2 Pusingan Dua Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Jerez, Sepanyol, semalam, ia jelas tidak memuaskan hati pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.

Terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-13 yang juga barisan kelima di grid, pelumba berusia 17 tahun itu menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-5.

Meletakkan sasaran podium sebelum kempen di Sepanyol bermula, permulaan di petak ke-13 itu jelas merencatkan perancangan pelumba pasukan SIC Racing MSi itu yang terpaksa bergelut dengan kelompok kedua.

Justeru bagi pelumba kelahiran Terengganu itu, dia mengakui masih banyak yang perlu dipertingkatkan bukan saja dari sudut jentera, malah dirinya sendiri dalam usaha mencabar kelompok hadapan diketuai pendahulu kejuaraan dari Sepanyol, Brian Uriarte.

"Secara keseluruhan, saya gembira dengan kemajuan saya minggu ini," kata Hakim Danish yang menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-9.

"Tetapi saya kurang berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kerana jurang dengan pelumba di hadapan masih jauh. Saya perlu perbaiki dari segi pelarasan jentera dan juga diri saya sendiri."

Selepas mengharungi Sesi Latihan Bebas pada Jumaat yang kompetitif, sesi Kelayakan berlangsung mencabar buat Hakim Danish apabila dia tersekat di kelompok pertengahan dan terpaksa menerima hakikat memulakan perlumbaan di petak ke-13.

Dan di sebalik corak tunggangan agresif yang ditampilkan, tahap kompetitif yang tinggi di kejuaraan itu menyaksikannya terpaksa berpuas hati tidak menamatkan perlumbaan dalam kelompok podium.

Selain itu, keputusan di Jerez menyaksikan kedudukan keseluruhan Hakim Danish dalam carta pelumba jatuh daripada tempat kedua ke tempat keempat dengan mengumpul 37 mata selepas dua pusingan.

Uriarte dalam pada itu terus mendominasi saingan apabila memenangi kedua-dua perlumbaan di Jerez, sekaligus mengumpul 75 mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Hakim Danish pada minggu dijadual berlumba di Pusingan 2 RedBull MotoGP Rookies Cup di Aragon, Sepanyol yang menyaksikannya sedang memimpin kejuaraan ketika ini.

"Doakan kejayaan saya," kata Hakim Danish.

Sementara itu, Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP bakal berlangsung di Magny Cours, Perancis pada 5 dan 6 Julai depan.