MASIH Belum Cukup Baik - Toprak Razgatlioglu

Sepuluh kemenangan turut menyaksikan pelumba ROKiT BMW Motorrad Toprak Razgatlioglu menyamai rekod yang dimiliki legenda Jonathan Rea di Magny-Cours

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/7/20251 min read

PELUMBA ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu merangkul kemenangan cukup dominan pada Perlumbaan 1 WorldSBK pada Pusingan 9 WSBK 2025 di Magny Cours, Perancis dengan kelebihan 8 saat di depan pencabar terdekatnya tetapi ia disifatkan masih belum cukup baik.

Kemenangan di Magny Cours itu menyaksikan pelumba kelahiran Turki itu meraih kemenangan ke-10 berturut-turut.

Mengulas perlumbaannya, pelumba kelahiran Turki itu berkata dia akan melakukan kesilapan di penghujung perlumbaan yang membuatkannya percaya masih ada penambahbaikkan diperlukan bagi menghadapi dua lagi perlumbaan pada hari ini.

"Hari ini (semalam) menakjubkan kerana saya dapat petak pertama ketika Superpole dan pecahkan rekod terpantas litar," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.

"Ini istimewa kepada saya, terutama selepas terlepas perlumbaan di Magny-Cours musim lalu kerana kemalangan yang teruk dan saya tidak dapat berlumba.

"Saya gembira, kami bermula dengan cukup kuat dan mengekalkan rentak kelajuan yang menakjubkan, tetapi saya perlu terus meningkat di beberapa sektor dan juga beberapa perkara membabitkan jentera saya.

"Pada penghujung perlumbaan, saya melakukan beberapa kesilapan. Saya dapat merasakan yang tayar belakang saya banyak kali terkunci, tetapi ini bukan masalah yang besar dan sepatutnya bukan masalah untuk diperbaiki."

10 kemenangan turut menyaksikan Razgatlioglu menyamai rekod yang dimiliki legenda Jonathan Rea di Magny-Cours namun satu lagi kemenangan hari ini membolehkan penyandang juara dunia WorldSBK itu menjadi pelumba pertama memenangi 10 perlumbaan di tiga litar berbeza selepas Donington dan Most.

Razgatlioglu tidak berlumba di Magny-Cours pada musim lalu selepas berdepan kemalangan.

"Perasaannya menakjubkan, untuk menang di sini bersama tiga pengeluar berbeza adalah menakjubkan. Saya sudah menang enam kali di sini, tetapi saya berharap untuk menjadikannya 10 kemenangan esok (hari ini) dan mungkin 11 selepas minggu ini berakhir.

"Kadang kala saya hanya berfikir mengenai mata dalam kejuaraan, tetapi apa yang penting juga adalah fokus kepada tunggangan perlumbaan demi perlumbaan tanpa melakukan kesilapan. Ini adalah litar kegemaran saya, jadi saya fokus untuk tidak melakukan kesilapan dan memenangi satu perlumbaan demi satu.

"Pusingan seterusnya di Aragon, ia akan menjadi berbeza, semua orang kuat di sana, tetapi saya cuba melakukan yang terbaik.