MASIH Jauh Daripada Prestasi Sebenar - Marc Marquez

Jaguh Ducati Lenovo, Marc Marquez turut menafikan dia sengaja merendah diri sebelum perlumbaan dan mengakui proses kebangkitan kali ini bukan sahaja menyeksakan dari sudut fizikal, malah lebih menekan ketahanan mentalnya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/8/20262 min read

MARC Marquez menyifatkan kemenangan di Grand Prix (GP) Hungary 2026 tidak memberikan makna yang dia sudah pulih sepenuhnya, sebaliknya mengakui prestasinya masih jauh daripada tahap sebenar pada musim 2025.

Pelumba pasukan kilang Ducati Lenovo itu mencuri tumpuan apabila kembali ke puncak podium di Balaton Park, semalam dan kejayaan itu diraih selepas bersaing sengit dengan pelumba KTM, Pedro Acosta sebelum melakar kemenangan Grand Prix ke-100 dalam kariernya.

Kejayaan bermakna itu hadir hanya seminggu selepas dia berjaya mempamerkan tunggangan positif di GP Itali, di mana pembedahan tambahan pada bahu kanannya Mei lalu dilihat mula menampakkan hasilnya.

Begitupun, juara dunia sembilan kali itu menegaskan bahawa keputusan cemerlang di Hungary bukanlah bukti kukuh dia sudah kembali ke tahap kecergasan fizikal sebenar, terutama kesan daripada kemalangan ngeri di GP Indonesia, Oktober tahun lalu.

"Saya sangat gembira dapat kembali meraih kemenangan dan berharap ini adalah proses pemulihan terakhir saya, namun saya sedar kebangkitan ini belum selesai sepenuhnya. Litar ini banyak membantu saya terutamanya di selekoh kiri kerana keadaan fizikal saya masih agak lemah," kata Marquez memetik laporan Motorsports.

Menafikan dia sengaja merendah diri sebelum perlumbaan, juara bertahan itu mengakui proses kebangkitan kali ini bukan sahaja menyeksakan dari sudut fizikal, malah lebih menekan ketahanan mentalnya sehingga merasakan gaya tunggangannya masih belum mencapai standard optimum.

Dan bagi membuktikan kesukarannya di atas jentera, Marquez mendedahkan dia buat pertama kalinya dalam karier mengalami masalah 'arm pump' pada lengan kiri berikutan terlalu banyak memindahkan tekanan pada bahagian itu ketika berlumba, manakala bahu kanannya mula kehabisan tenaga.

"Ketika saya memintas Acosta, saya menggunakan tenaga yang terlalu banyak. Ia adalah satu pertarungan yang hebat, tetapi selepas memecut maksimum untuk dua pusingan berikutnya, saya mula bertanya pada diri sendiri tentang ketahanan badan kerana masih ada 10 pusingan untuk diharungi," katanya.

Marquez dalam pada itu turut menyifatkan kemenangan di Balaton Park sebagai 'amat mahal' kerana dia perlu membayar harga pengorbanan yang cukup tinggi untuk kembali bergelar juara sejak insiden perlanggaran dengan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi di Indonesia.

"Saya sudah belajar sejak 2020 bahawa kehidupan dan kerjaya seorang atlet boleh berubah dalam sekelip mata. Beberapa perlumbaan awal musim ini sangat sukar bagi kami. Kini, saya hanya terus menaruh kepercayaan pada diri sendiri dan cuba memberikan komitmen 100 peratus di atas litar."