MAVERICK Vinales Dapat Tawaran Lumayan Sertai Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/25/20241 min read

MAVERICK Vinales dilaporkan memperoleh tawaran kontrak berstatus mega yang akan menjadikannya pelumba dengan gaji kedua tertinggi di MotoGP jika menyertai Honda.

Menurut laporan Motosprint, Vinales akan menjadi pelumba dengan gaji kedua tertinggi di belakang Fabio Quartararo (Yamaha) jika meninggalkan Aprilia dan menyertai Honda untuk musim 2025 dan 2026.

Sebelum ini, Quartararo yang turut dipikat Aprilia menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha dengan perjanjian € 12 juta (RM 61.49 juta) setahun.

Sebagai perbandingan, Aprilia hanya menawarkan gaji € 4 juta (RM 20.49 juta) setahun dengan tambahan jentera yang kompetitif kepada pelumba kelahiran Perancis itu.

Vinales tampil dengan persembahan cukup menyakinkan musim ini malah berjaya mencipta rekod di GP Amerika Syarikat apabila menjadi pelumba MotoGP meraih kemenangan bersama tiga pengeluar berbeza - Suzuki, Yamaha dan Aprilia.

Berdasarkan kontrak, Vinales hanya 'diikat' Aprilia sehingga penghujung musim ini.

Dan menurut laporan berkenaan, Aprilia turut melabel Vinales sebagai 'penting' namun bukan sesuatu yang tidak boleh 'disingkirkan'.

Justeru jika Honda menawarkannya gaji yang paling tinggi di grid MotoGP pada 2025, ia berkemungkinan besar akan menerimanya.

Honda ketika ini berdepan masalah prestasi yang menyaksikan pelumba bintangnya, Marc Marquez angkat kaki sekalipun memperoleh gaji lumayan.

Begitupun, pengeluar itu memiliki kelebihan dari sudut kewangan dan sudah pun mengikat dua pelumba, Luca Marini dan Johann Zarco sehingga 2025.