MAVERICK Vinales Dedah Punca Tinggalkan Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/28/20242 min read

MAVERICK Vinales mengucapkan selamat tinggal kepada Aprilia untuk menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 musim depan - keputusan yang dianggap mengejutkan buat peminat MotoGP global.

Tindakan pelumba kelahiran Sepanyol itu turut diakui cukup pelik kerana dia bukannya dilepaskan oleh Aprilia, namun secara sukarela meninggalkan pasukan 'kilang' itu yang turut diketahui memiliki jentera yang mampu menyaingi Ducati.

Lebih mengejutkan, bekas pelumba Suzuki dan Yamaha itu menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya merobek pengusaan Ducati musim ini dengan menakluk GP Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai keputusannya itu menjelang GP Belanda 2024 di Assen, pelumba berusia 29 tahun itu berkata antara alasannya tidak kekal di Aprilia adalah kerana dia mengikuti nalurinya.

"Asasnya, satu daripada banyak alasan adalah kerana saya mengikuti naluri saya," kata Vinales.

"Saya dapat melihat sedikit sebanyak apa yang akan berlaku pada masa depan, bagaimana situasi membabitkan jentera, dan saya rasa yang KTM adalah perpindahan yang betul.

"Kemudian dengan jelas melihat kepada potensi yang saya boleh capai, seperti di Austin, dan tidak mampu untuk melakukannya di perlumbaan berikutnya bermakna sesuatu.

"Jadi ia juga sesuatu menjadi pemberat dalam keputusan yang saya ambil," katanya.

Vinales turut mendedahkan dia sudah berfikir untuk meninggalkan Aprilia sejak GP Sepanyol di Jerez, perlumbaan yang berlangsung selepas dia meraih kemenangan di Austin.

"Keputusan saya, untuk berkata jujur, saya berfikir mengenainya sejak Jerez. Saya benar-benar tidak mahu meneruskannya kerana seperti yang pernah kata selepas Austin, saya sedikit terkejut, mengenai apa yang saya mampu lekukan, tetapi untuk satu daripada 20 perlumbaan, saya tidak menyukainya.

"Saya mahu melakukannya lebih banyak lagi kerana saya fikir kami boleh melakukannya.

"Dan sebenarnya saya benar-benar banyak berfikir mengenainya dan jelas, pasaran pemain bergerak dengan amat pantas. Saya sebenarnya mahukan ia sedikit tenang, tiba pada musim panas dan memutuskannya dengan masa yang banyak.

"Tetapi melihat Aprilia juga agak pantas mendapatkan tandatangan Jorge (Martin) dan jelas ia boleh menjadi pasukan yang amat bagus - Jorge dan Maverick - tetapi saya sudah pun membuat keputusan sebelum Mugello.

"Saya gembira untuk pasukan kerana mereka memperoleh Martin dan Marco (Bezzecchi). Jadi ya, semoga berjaya," katanya.

Vinales ketika adalah pelumba terbaik Aprilia dalam carta kejuaraan dunia di kedudukan ke-6, satu kedudukan di belakang Pedro Acosta dengan empat kedudukan teratas diisi pelumba Ducati.

KTM ketika mengumumkan kehadiran Vinales dan seorang lagi pelumba Tech3, Enea Bastianini menjelaskan kedua-dua pelumba itu akan mendapat status yang sama dengan pasukan 'kilang'.

"Saya mempertaruhkan segala-galanya ke atas prestasi dan tunggangan saya, dan kerana itu saya rasa KTM adalah pilihan terbaik yang boleh saya lakukan, untuk projek dan juga dari sudut persaingan."