MAVERICK Vinales, Enea Bastianini Sertai Tech3 KTM MotoGP 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20241 min read

KTM mencipta kejutan dengan mengumumkan kehadiran dua pelumba, Maverick Vinales dan Enea Bastianini ke pasukan satelitnya di MotoGP, Red Bull Tech3 KTM bermula musim depan.

Pengesahan dua pelumba pasukan 'kilang' Aprilia dan Ducati dan boleh dianggap mencetus sensasi itu melengkapkan senarai keempat-empat pelumba KTM di grid MotoGP bagi musim 2025.

Apa yang menarik, pasukan yang berpangkalah di Perancis itu turut akan kembali menggunakan nama 'Red Bull KTM' bagi musim depan selepas dua tahun menggunakan nama GasGas.

KTM sebelum ini melengkapkan senarai pelumba di pasukan 'kilang' KTM menerusi kehadiran pelumba 'Rookie' sensasi, Pedro Acosta, bulan lalu yang akan bergandingan bersama Brad Binder.

Pengumuman turut menyaksikan pelumba Australia, Jack Miller dan juara dunia Moto2 musim 2022, Augusto Fernandez akan meninggalkan pasukan itu sejurus musim 2024 berakhir.

Menurut KTM, Vinales dan Bastianini menandatangani 'perjanjian beberapa tahun' bersama pengeluar Austria itu.

"Kami gembira untuk mengumumkan yang Enea dan Maverick akan bersama kami pada tahun depan dan kami mengubah kepada pasukan kepada KTM," kata Pengurus Pasukan Tech3, Nicolas Goyon.

"Kami tidak akan lupa kemenangan pertama kami di MotoGP yang diperoleh dengan warna jingga.

"Kami tidak boleh menyembunyikan bangga kami yang dua pelumba berbakat ini memutuskan untuk menunggang jentera kami. Ia menunjukkan yang kami mengikuti laluan yang betul, dan teknologi kami boleh bersaing di kelompok pencabar kejuaraan."

Ketika berita kehadiran Bastianini yang tempatnya di Ducati Lenovo diambil Marc Marquez tidak begitu mengejutkan berikutan khabar angin yang tersebar sebelum ini, keputusan yang dibuat Vinales mencipta sensasi.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu masih segar dengan kemenangan sulung dan bergandanya di MotoGP musim ini bersama Aprilia dan mengisi kedudukan ke-6 carta kejuaraan.

Kemenangan bersama Aprilia turut menyaksikan Vinales menjadi pelumba pertama MotoGP meraih kemenangan bersama tiga pengeluar berbeza tetapi kehadiran Jorge Martin bersama pengeluar itu berkemungkinan membuatkannya kurang selesa.