MAVERICK Vinales Optimis Hadapi Qatar
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/7/20251 min read


PELUMBA KTM Tech3, Maverick Vinales mengakui motivasinya menuju pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar cukup tinggi disebalik 'kesukaran' yang dihadapinya setakat ini.
Selepas tiga pusingan, bekas pelumba Aprilia Racing itu menjadi pelumba KTM tercorot dalam kedudukan carta selepas menghuni tangga ke-17 keseluruhan dan hanya mengutip 6 mata.
Disebalik keputusan yang kurang memberangsangkan, pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata Grand Prix Amerika Syarikat memberikannya indikasi yang baik yang menyaksikannya berjaya bersaing di Kelayakan 2 buat pertama kali musim ini.
Malah ia turut diakui Pengurus Tech3, Nicolas Goyon yang menyatakan jika tidak disebabkan masalah teknikal yang dihadapi KTM RC16, kedudukan 5 terbaik mampu dicapai pelumba itu.
"Kami menuju ke Qatar dengan perasaaan yang baik selepas menambahbaikkan yang dibuat di Austin," kata Vinales yang pernah bergelar juara di Litar Lusail sebelum ini sebagai pelumba Yamaha pada 2017 dan 2021.
"Sudah tentu hasilnya bukan apa yang kami mahukan, tetapi saya merasa laju dan kompetitif sepanjang minggu buat pertama kali pada musim ini, dan apa yang saya mahu adalah pergi ke Qatar dan meneruskannya.
"Doha adalah litar yang saya amat gemari, di mana saya memperoleh beberapa keputusan yang baik sebelum ini.
"Jadi kami akan cuba untuk menjadi kompetitif sejak daripada Jumaat, dan lihat bagaimana perjalanannya bagi minggu itu.
"Sentiasa istimewa untuk berlumba di waktu malam, jadi saya amat teruja. Ia lebih terkawal," kata Vinales yang mengakui semakin selesa dengan jenteranya.
Sebagai info, KTM menjadi satu-satunya pengeluar yang masih belum meraih kedudukan lima terbaik pada musim ini.
