MAVERICK Vinales Tayang Kemampuan Aprilia, Menang Perlumbaan Sprint Di COTA 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/13/20242 min read

PELUMBA Aprilia, Maverick Vinales menayangkan kemampuan yang dimiliki jentera pasukan itu, RS-GP dengan merangkul kemenangan Perlumbaan Sprint keduanya musim ini di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat 2024, awal pagi tadi.

Pada aksi di COTA itu, Vinales jelas nampak cukup selesa dengan jenteranya selepas meraih petak utama perlumbaan dan lebih menakjubkan, memimpin saingan daripada awal sehingga penamat.

Pelumba yang dianggap 'pakar' di COTA, Marc Marquez yang ketika ini menunggang jentera Ducati bersama Gresini Racing turut membuktikan kemampuannya dengan menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Begitupun, seorang lagi pelumba yang mengisi barisan depan, Pedro Acosta tidak menaiki podium selepas menamatkan saingan di tempat keempat.

Dan podium terakhir di Austin menjadi milik pencabar kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati yang berjaya bangkit sekalipun memulakan perlumbaan di petak keenam.

Mengulas kemenangannya, Vinales yang memecahkan rekod sepusingan di COTA berkata dia teruja dengan peningkatan yang dilakukan Aprilia ketika ini.

"Ia menakjubkan. Kami seperti bermimpi tetapi kehidupan memang seperti itu. Kamu perlu bermimpi," kata Vinales.

"Amat menakjubkan bagaimana kami meningkatkan hanya dengan satu perlumbaan kerana di Qatar saya tidak merasa bagus bersama jentera dan tidak mampu untuk menjadi kompetitif.

"Tetapi sejurus kami mengubah sedikit pelarasan jentera, terutama keseimbangan berat, saya merasa cukup menakjubkan pada setiap pusingan.

"Kami perlu terus bekerja keras. Ini adalah tempoh yang agak istimewa, jadi kami perlu menikmatinya, tetapi kami akan cuba menang esok.

"Saya merasa amat tenang dan banyak kelegaan daripada Portimao. Ia aneh kerana kamu berada di grid tetapi tidak gementar. Saya yakin, saya fokus dan itulah perasaan yang saya perlukan untuk menjadi laju," katanya.

Di Portimao, Vinales turut berpeluang untuk meraih podium pada perlumbaan utama namun tidak kesampaian selepas jenteranya mengalami masalah mekanikal di penghujung perlumbaan.

Kali terakhir pelumba kelahiran Sepanyol itu merangkul kemenangan pada perlumbaan utama adalam pada 2021 di Qatar dan jika menang di COTA, awal pagi esok, Vinales akan menjadi pelumba pertama menjulang tiga kemenangan bersama tiga pengeluar berbeza di era 4 lejang.

Sementara itu, penyandang juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia dalam pada itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8 selepas melakukan kesilapan ketika permulaan.

Di bahagian belakang, pelumba terbaik Yamaha dicapai oleh Fabio Quartararo (p15) manakala satu-satunya pelumba Honda yang menamatkan perlumbaan adalah Luca Marini di kedudukan tercorot.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Amerika Syarikat 2024

  1. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), 20m 27.825s

  2. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +2.294s

  3. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +4.399s

  4. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +6.480s

  5. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +6.657s

  6. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +8.621s

  7. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +9.237s

  8. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +9.349s

  9. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +9.637s

  10. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +9.894s

  11. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +10.364s

  12. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +10.724s

  13. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +11.549s

  14. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +15.468s

  15. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.574s

  16. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +18.146s

  17. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +22.989s

Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), DNF

Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), DNF

Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), DNF