MAVERICK Vinales 'Terganggu' Tawaran Lumayan Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/18/20241 min read

TAWARAN lumayan Honda dilaporkan 'mengganggu' bintang Aprilia, Maverick Vinales.

Setakat ini, tiada pasukan di MotoGP termasuk berstatus 'kilang' sudah melengkapkan senarai pelumba bagi musim 2025 termasuk Aprilia dan Honda.

Sekalipun menampilkan prestasi yang boleh dikatakan baik pada musim ini, termasuk meraih kemenangan berganda di GP Amerika Syarikat, Vinales dari Sepanyol masih belum melanjutkan kontraknya oleh Aprilia.

Selain Vinales yang kontraknya dijadual berakhir pada penghujung musim 2024, Aprilia juga sedang menunggu keputusan seorang lagi pelumba 'kilang' Aleix Espargaro sama ada ingin terus berlumba atau bersara.

Honda ketika ini mengharungi kempen yang mengecewakan namun pengeluar dari Jepun itu diketahui memiliki kekuatan dari sudut kewangan.

Dan situasi itu memberi peluang kepada mana-mana pelumba yang ingin memburu bayaran lumayan dan menurut laporan Motosprint, Vinales 'terganggu' dengan apa yang boleh diperolehnya di Honda.

Sekalipun memiliki jentera yang dianggap kompetitif untuk menyaingi Ducati, Aprilia jelas 'tewas' kepada pengeluar dari Jepun dari sudut kewangan dan ia dibuktikan oleh Fabio Quartararo yang memilih untuk kekal di Yamaha.

Setakat ini, Honda sudah mempunyai dua pelumba yang memiliki kontrak sehingga 2025 iaitu Luca Marini (Repsol) dan Johann Zarco (LCR) namun masa depan Joan Mir dan Takaaki Nakagami masih belum jelas.

Vinales ketika ini menjadi antara pelumba yang 'hangat' di pasaran dengan kemenangan di Texas menjadikannya pelumba MotoGP pertama memenangi perlumbaan bersama tiga pengeluar berbeza.

Selain itu, bekas pelumba Suzuki dan Yamaha itu sudah memenangi dua Perlumbaan Sprint musim ini.

Dan perpindahan ke Honda memberinya peluang untuk terus merekod sejarah menjadi pelumba pertama memenangi perlumbaan bersama empat pengeluar berbeza di MotoGP selain memenuhkan akaun bank miliknya.

Sekalipun 'berduit', tetapi Vinales perlu membuat pertimbangan penting selepas melihat apa yang menimpa Marini ketika ini.

Bekas pelumba VR46 Ducati, Marini yang menggantikan Marc Marquez di Repsol Honda tampak cukup bergelut apabila menjadi satu-satunya pelumba yang masih belum meraih sebarang mata musim ini.