MAVERICK Vinales Teruja Dengar Nasihat Idola, Dani Pedrosa

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/4/20251 min read

PELUMBA baharu Red Bull KTM Tech3, Maverick Vinales mengakui teruja dengan kelibat legenda MotoGP, Dani Pedrosa sebagai pelumba ujian pengeluar Austria itu.

Menurut Vinales yang menyertai KTM dari Aprilia musim ini, dia 'bersyukur' dengan maklum balas yang diperoleh daripada Pedrosa yang disifatkan sebagai salah seoarang idolanya.

KTM membariskan pasukan ujian yang dianggap terkuat di paddock MotoGP menerusi naib juara tiga kali MotoGP, Pedrosa dan Pol Espargaro dengan kedua-duanya 'beraksi' ketika ujian 'Shakedown' di Sepang, minggu lalu.

"Bukan saja dia (Pedrosa) memberitahu saya, saya sendiri berharap dia akan memberitahu saya," kata Vinales.

"Saya terbuka untuk mendengar apa yang Dani katakan dan faham bagaimana saya boleh menambahbaik gaya tunggangan dan cara saya berlumba.

"Saya fikir setiap tahun kamu perlu belajar, dan dengan Dani Pedrosa di sisi kamu, yang juga idola saya sejak saya kecil, saya amat bersyukur kerana banyak yang saya boleh belajar dan memahami di mana saya boleh menambahbaik diri saya, atau mungkin bagaimana saya boleh 'membaca' perlumbaan.

"Dan perkara ini amat penting. Sejujurnya mungkin sejak sembilan tahun lalu, ini adalah tahun pertama saya tidak perlu membangunkan jentera. Jadi ia perubahan yang besar.

"Saya boleh memberi tumpuan kepada diri saya, pelarasan saya. Saya masih ingat pada tahun lalu saya tidak memperoleh tiga pusingan untuk melakukan tugas pelarasan.

"Jadi pada tahun ini saya mempunyai banyak pusingan untuk melakukan pelarasan, jadi saya berharap ini boleh menjadi perubahan yang besar untuk pergi ke tahap seterusnya."