MAXIMO Quiles Sahkan Gelaran Juara Dunia Moto3 Di Mandalika
Apa yang menarik, Maximo Quiles yang berlumba bersama pasukan CFMOTO Gaviota Aspar mengesahkan gelaran berkenaan ketika saingan musim ini masih berbaki 5 pusingan termasuk di GP Malaysia, sekali gus menampilkan dominasi mutlaknya pada tahun kedua di pentas Moto3 dunia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/11/20261 min read


PELUMBA pasukan CFMOTO Gaviota Aspar, Maximo Quiles menoktahkan perebutan kejuaraan musim ini apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia Moto3 2026 selepas melakar kemenangan dominan pada Grand Prix (GP) Indonesia 2026.
Lebih menarik, pelumba berusia 18 tahun itu mengesahkan gelaran berkenaan ketika saingan musim ini masih berbaki 5 pusingan termasuk di GP Malaysia, sekali gus menampilkan dominasi mutlaknya pada tahun kedua di pentas Moto3 dunia.
Kejayaan merangkul kejuaraan dunia lebih awal itu meletakkan nama Quiles dalam lipatan sejarah sukan permotoran 2 roda.
Dia kini menyertai kelab eksklusif bersama legenda seperti Mike Hailwood, Giacomo Agostini dan mentornya, Marc Marquez sebagai pelumba yang pernah memenangi kejuaraan dunia merentas semua kelas dengan baki 5 perlumbaan.
Pada aksi di Litar Mandalika itu, Quiles membuktikan mengapa dia layak bergelar juara dunia apabila meraih kemenangan ke-10 kempen musim ini dengan gaya penuh sensasi.
Bermula dari petak kedua, dia mempamerkan permulaan sempurna untuk merampas kedudukan pendahulu daripada David Almansa seawal pusingan kedua dan terus selesa menjarakkan diri di hadapan tanpa menoleh ke belakang.
Walaupun menerima amaran amaran had persekitaran litar pada pusingan ke-14 yang tidak memberinya ruang untuk melakukan kesilapan, pelumba bernombor 28 itu kekal tenang mengawal jentera untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama.
Pencabar terdekatnya yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua, kedudukan yang mengukuhkan lagi cengkamannya di tangga kedua keseluruhan kejuaraan.
Sementara itu, pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte berjaya melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga selepas melakukan pintasan dramatik ke atas Matteo Bertelle (LEVELUP-MTA) pada pusingan terakhir perlumbaan.

