MBP Moto Ambil Alih Morbidelli, Kini Dikenali MBP Morbidelli

TERKINI

4/19/20241 min read

MOTO Bologna Passion atau MBP Moto mengumumkan pengambilalihan syarikat pengeluar motosikal bersejarah Itali, Morbidelli dan secara rasminya dikenali sebagai MBP Morbidelli.

Sebagai info, MBP Moto adalah syarikat pengeluar motosikal Itali yang ditubuhkan pada 2021 dan dimiliki syarikat China, Kumpulan Keeway manakala Morbidelli yang berpangkalan di Pesaro, Itali diasaskan pada era-1960-an dan memiliki sejarah kejayaan di Kejuaraan Motosikal Dunia (GP).

Menurut MBP Morbidelli, pengambilalihan berkenaan itu secara langsung menandakan babak terbaru dalam syarikat itu menerusi penggabungan teknologi dan inovasi terkini MBP Moto dengan gaya dan imej Morbidelli yang unik.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Keeway, Dante Bustos berkata pengambilalihan itu adalah bukti aspirasi MBP Moto untuk kecemerlangan dalam industri motosikal.

"Kami amat teruja untuk mengalu-alukan jenama premium bersejarah seperti Morbidelli ke dalam keluarga kami. Ia membolehkan kami menggabungkan warisan perlumbaan dan ketukangan buatan Itali dengan visi kami tentang masa depan motosikal," katanya.

Sebagai strategi pelaburan jangka panjang, syarikat itu akan membangunkan 'Morbidelli Style Centre' yang juga Pusat Penyelidikan dan Pembangunan baharu di Bologna, Itali.

Ia bertujuan meneroka teknologi bahan baharu, menambah baik reka bentuk dan prestasi serta membawa kecemerlangan motosikal Itali kepada dunia atas nama warisan dan semangat oleh pengasas Morbidelli, Giancarlo Morbidelli.

Di Malaysia, MBP Morbidelli pada tahun ini dijadual menyertai pameran automotif yang terbesar di Malaysia iaitu Malaysia Autoshow yang akan berlangsung selama 5 hari iaitu dari 22 Mei 2024 sehingga 26 Mei 2024 di MAEPS Serdang, Selangor.

Menerusi MForce Bike Holdings, syarikat itu akan menampilkan beberapa model-model motosikal yang bakal memasuki pasaran Malaysia antaranya T1002V, SC150 dan N252V serta melancarkan beberapa model baharu.