MBP Moto Dah Buat Tayangan Perdana Di Malaysia, Pelancaran Bila, Apa Yang Menarik?

TERKINI

8/30/20231 min read

SEPERTI dijanjikan, syarikat pengeluar dan pengedar motosikal tempatan, MForce Bike Holdings (MForce) membuat 'tayangan perdana' jenama baharu yang bernaung di bawahnya, Moto Bologna Passione atau MBP Moto ketika KL Bike Show (KLBS) 2023, baru-baru ini.

Dan menariknya, bukan satu model ditayangkan oleh syarikat itu, namun empat model termasuk model aras tinggi, MBP C1002V.

Selain MBP C1002V yang diposisikan dalam segmen 'Kruiser', turut ditayangkan beberapa model termasuk dalam segmen skuter, MBP SC 150 RE yang bergaya klasik, skuter moden MBP SC150 dan model 'Naked', MBP M502N.

Perkembangan itu turut menjadi pengumuman yang MForce menjadi pengedar ekslusif bagi jenama Itali berkenaan di Malaysia dan beberapa lagi pasaran di rantau Asia Tenggara.

Sebelum pergi lebih lanjut dan sedikit info mengenai MBP Moto, ia adalah syarikat pengeluar motosikal dari Itali namun dimiliki syarikat gergasi China yang turut 'memayungi' jenama seperti Benelli.

Ketika sesi pengenalan MBP Moto, Ketua Pegawai Pemasaran syarikat itu, Dante Bustos berkata syarikat itu memfokuskan kepada inovasi, kecemerlangan rekaan dan teknologi terkini.

Menerusi teknologi dan kepakaran yang dimiliki mereka, ia dikatakan mampu memberikan pengalaman tunggangan yang lebih selamat, selesa serta interaktif kepada pengguna.

Menurutnya, antara yang menjadi 'kekuatan' jenama itu adalah kecekapan bahan api, sistem navigasi canggih yang memberikan pengalaman yang terbaik kepada penunggang.

Begitupun setakat ini, belum ada sebarang kata putus mengenai pelancaran rasmi termasuk harga yang akan ditawarkan MBP Moto di pasaran Malaysia.

Tetapi menurut risikan, beberapa barisan model MBP ketika ini sedang menjalani ujian jalan raya di Malaysia.

Dan jika tiada masalah, pelancaran rasmi model pertama jenama itu di pasaran tempatan akan dijalankan pada tahun depan dan datang bersama MForce, harga yang ditawarkan katanya akan 'mengujakan'.