MEKANIK Takut Nak Sentuh Jentera Saya - Maverick Vinales

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/15/20242 min read

MAVERICK Vinales akhirnya boleh berbangga selepas memahat namanya dalam rekod MotoGP dengan bergelar pelumba pertama menang bersama tiga pengeluar berbeza - Suzuki, Yamaha dan Aprilia di era 4 lejang.

Kemenangan Vinales di COTA (Circuit of the America) awal pagi tadi mengikuti kemenangannya pada Perlumbaan Sprint dan lebih penting turut membuktikan kemampuan jentera Aprilia.

Tetapi tidak seperti aksi di Sprint, pelumba kelahiran Sepanyol itu terpaksa bekerja lebih keras di perlumbaan utama sekalipun memulakan perlumbaan di petak paling depan selepas terperosok ke posisi ke-11 di awal saingan sebelum bangkit.

"Saya berkata semalam yang saya bermimpi dan disebabkan itu kami perlu percaya, kami perlu memiliki keyakinan," kata Vinales.

"Jelas penutup minggu ini memberikan kami banyak semangat untuk terus bekerja keras. Ia bukan mudah dan ia memerlukan banyak malam berfikir malah terlebih fikir mengenai apa yang saya perlukan untuk kembali memenangi perlumbaan.

"Akhirnya, saya melakukannya. Saya amat gembira kerana tidak pernah berputus asa. Tetapi untuk memastikan juga orang di sekeliling saya percaya yang saya mempunyai bakat yang cukup dan dedikasi untuk meraihnya (kemenangan)."

Mengulas lanjut, Vinales mengakui dia berdepan isu dengan klac jenteranya di awal perlumbaan yang jelas 'menakutkan' jurutera-jurtera di garaj Aprilia.

"Saya berdepan isu dengan klac pada sebelah pagi dan pasukan agak bimbang" kata Vinales yang menangis di atas jenteranya selepas meraih kemenangan. "Mereka tidak mahu menyentuh apa-apapun.

"Saya mengalami perkara yang saya ketika perlumbaan tetapi ia tidak teruk dan saya berada di kedudukan kedua atau ketika tetapi saya melihat Pecco (Bagnaia) masuk dan menolak saya, menolak dengan jauh (wide) kerana Jorge (Martin) juga memintas dari dalam jadi ia adalah insiden perlumbaan.

"Selepas itu saya berkata 'Tidak'. Tetapi ini bukan masanya. Saya terus memberi tumpuan dan terus percaya yang ia masih boleh dilakukan.

"Apabila saya melakukan tekanan saya merapatkan jurang dengan pantas dengan kelompok depan. Saya berkata 'satu demi satu, satu pelumba setiap kali'. Saya melakukannya.

"Ia gila dan saya menikmati setiap pusingan. Beberapa pelumba memintas saya kembali tetapi saya melakukan brek yang cukup lewat untuk memaksa mereka berundur."

Vinales mengakui kemenangan yang diraihnya bersama Aprilia cukup istimewa.

"Sejujur-jujurnya kami tidak pernah melihat kepada perkara itu tetapi apabila kamu menyedarinya ia amat istimewa. Tidak ramai pelumba boleh melakukan perkara seperti itu.

"Untuk mencapai kemenangan bersama Aprilia, saya tidak tahu, saya fikir ia adalah impian. Ia tidak sama seperti kamu pergi ke pasukan yang sudah pun menang dan tahu jentera yang mereka ada menakjubkan.

"Saya tiba di Aprilia bersama Aleix (Espargaro), membantu membangunkan jentera. Aleix meraih dua kemenangan dan kami mempunyai jentera yang bagus dan saya membawanya ke langkah seterusnya.

"Ia amat menakjubkan. Saya perlu berterima kasih kepada Aleix atas apa yang dia lakukan dan Aprilia," kata Vinales yang merekodkan 1 kemenangan bersama Suzuki pada 2016 dan menambah lapan kemenangan bersama Yamaha dari tahun 2017 hingga 2021.