MENANG MotoGP Di Sepang 2023 Beri Mesej Jelas Kepada Ducati - Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/13/20231 min read

KEMENANGAN Enea Bastianini di perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2023, semalam boleh dikatakan tiba tepat pada masanya tatkala Ducati tampak di ambang untuk menyisihkannya.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Bastianini bukan saja berjaya mengetepikan cabaran sengit pemenang Perlumbaan Sprint, ALex Marquez (Gresini Ducati), namun memimpin hampir keseluruhan perlumbaan sebelum menang.

Dan kebangkitan itu jelas tak mampu dihalang rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia yang juga pendahulu kejuaraan dan pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin yang sekadar bersaing bagi mengisi podium terakhir.

Ducati Lenovo pada Sabtu lalu melakukan perkara yang boleh menurunkan motivasi pelumbanya apabila mendedahkan pasukan itu mempertimbangkan peluang Martin untuk menyarung sut lumba ikonik Ducati berwarna merah.

Dan ia dibalas Bastianini menerusi kemenangan yang disifatkan memberikan mesej jelas kepada pengeluar Itali itu.

"Ia mudah, kamu juga tahu. Jorge sedang mengharungi musim yang hebat dan saya tidak. Saya berada dalam situasi terendah (pilihan pelumba) tetapi saya tahu mengapa.

"Sukar untuk menjelaskan perasaan saya tetapi kini saya sudah menghantar mesej yang jelas kepada Ducati. Perasaan saya kini cukup bagus di dalam pasukan.

"Saya fikir ia situasi yang baik. Saya tidak tahu keputusan Ducati dan apa yang akan terjadi. Sata mendapat pengesahan di GP Misano tetapi kita tunggu dan lihat."

Mengulas kemenangannya di Sepang, yang menamatkan kemarau kemenangan yang kali terakhir diperoleh di Aragon musim lalu, Bastianini yang dipalit kecederaan musim ini mengakui keadaan fizikalnya amat baik dan gembira.

"Ia menjadi musim yang malapetaka kepada saya. Banyak kecederaan dan juga kesakitan terutama selepas kecederaan pertama," kata Bastianini yang terlepas lapan pusingan daripada 18 pusingan yang sudah berlangsung.

"Mustahil untuk saya berlatih dan saya menghabiskan tempoh tiga bulan di gym untuk menggerakkan kaki. Juga bahagian lain di badan saya juga perlu dibuat sesuatu jika kamu mahu laju bersama jentera MotoGP.

"Perasaan saya cukup menakjubkan sekarang dan ia perlumbaan yang hebat. Saya melihat pada perlumbaan Sprint yang kelajuan saya OK tetapi pada perlumbaan hari ini (semalam), saya boleh melakukan lebih daripada itu.

"Ia menakjubkan kerana pasukan bekerja dengan amat baik sejak dari mula," kata pelumba kelahiran Itali itu yang bukan pelumba hasil didikan legenda Valentino Rossi.