MENGUJAKAN, Modenas Serah 100 Unit Pertama Kawasaki Ninja ZX-6R (2025) Di Litar Antarabangsa Sepang!
TERKINI
2/13/20252 min read


PENGALAMAN mengujakan dan luar biasa diperoleh 100 pemilik pertama motosikal 'Supersport' berprestasi, Kawasaki Ninja ZX-6R oleh pengedar rasmi Modenas, hari ini menerusi majlis penyerahan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Mengikuti pelancarannya pada November tahun lalu sempena Grand Prix Malaysia (MotoGP), memang tidak dapat dinafikan Ninja ZX-6R serba baharu adalah model paling dinanti-nantikan di pasaran tempatan sejak itu.
Malah, Modenas turut boleh dikatakan tidak 'menang tangan' dengan angka tempahan diterima yang jauh melebihi jangkaan asalnya iaitu 50 unit.




Acara di Sepang adalah penyerahan untuk tempahan kumpulan pertama dan kedua motosikal berkenaan sementara Modenas bertungkus lumus menyiapkan tempahan kumpulan ketiga.
Apa yang menarik, majlis ini bukan sekadar sesi penyerahan Ninja ZX-6R, malah turut dilabel Modenas sebagai 'perayaan' kepada peminat motosikal berkelajuan tinggi.


Ini kerana turut berlangsung adalah sesi 'track day' yang memberikan peluang kepada pemilik Ninja ZX-6R untuk merasai pengalaman 'mengerah' kuasa dan potensi motosikal berprestasi itu di litar bertaraf antarabangsa.
Selain rekaan garang dan serba moden, antara tarikan Ninja ZX-6R di pasaran Malaysia adalah ia dijual pada angka cukup menarik, RM 59,900 (asas). Sebagai info, harga model generasi terdahulu yang dikenali Ninja 636 dan dibawa masuk pada tahun 2018 adalah RM 79,000 (asas).




Menurut Modenas, penurunan harga menarik itu dapat direalisasikan kerana Ninja ZX-6R dipasang di fasiliti syarikat itu di Gurun, Kedah.
Mengetuai majlis penyerahan adalah Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, Yusaku Kashiwagi yang menyifatkan majlis berkenaan sebagai detik membanggakan.
"Majlis ini bukan hanya sekadar penyerahan motosikal tetapi adalah tempoh di mana Kawasaki memenuhi impian peminatnya di Malaysia yang dahagakan prestasi dan adrenalin," kata Kashiwagi.




Dan berikut adalah antara info dan spesifikasi Ninja ZX-6R yang menjadikannya sebagai salah satu model yang luar biasa.
Enjin 636 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa 122 Hp @ 13,000 rpm (127 Hp @ 13,000 rpm - dengan ram-air) dan tork 69 Nm @ 10,800 rpm.
Lengkap sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) dan klac anti gelincir (Assist & Slipper).
Dua mod kuasa (Full dan Low).
Empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan Rider- Tetapan individu).
Kawalan Cengkaman (KTRC) 3 Mod.
Sistem Brek Anti-Kunci Pintar Kawasaki (KIBS)
Suspensi fork jenis terbalik (USD) 41 mm SFF-BP dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri boleh laras penuh.
Brek cakera berkembar 310 mm dengan kaliper monoblok 4 Piston (depan), cakera tunggal 220 mm kaliper piston tunggal (belakang).
Dimensi - panjang 2,025 mm, lebar 710 mm, tinggi 1,105 mm.
Jarak lega bumi 130 mm, jarak antara roda 1,400 mm, tinggi pelana 830 mm.
Kapasiti tangki bahan api 17 liter
Berat kasar 198 kg.
Panel meter TFT 4.3 Inci berwarna dengan ciri sambungan telefon pintar.
"Ninja ZX-6R direka untuk mereka yang menginginkan prestasi dan kelajuan dan hari ini, pelanggan kami dapat merasai sendiri pengalaman itu di litar Sepang.
"Sekalipun Ninja ZX-6R dihasilkan untuk penggunaan litar, tetapi ia juga bersedia untuk menguasai jalan raya. Jadi pada harga ini, Kawasaki Ninja ZX-6R adalah jentera supersport terbaik bagi penunggang yang mahukan prestasi dan nilai.
"Dengan ciri-ciri canggih, reka bentuk agresif dan harga yang sukar ditandingi, Ninja ZX-6R bersedia untuk merevolusikan kategori supersport pertengahan berat. Tidak kira sama ada anda seorang penunggang berpengalaman atau mencari sensasi baharu, jentera ini pasti memberikan kepuasan maksimum," katanya.
Kepada yang berminat dan mahukan maklumat lanjut mengenai Ninja ZX-6R, sila kunjungi pengedar Kawasaki All-Star terdekat atau layari laman web rasmi Kawasaki Malaysia di: https://www.kawasaki.com.my




















