MENJELANG GP Malaysia 2023, 'Martinator' Akui Dah Mula Rasa Tertekan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/30/20231 min read
JUARA berganda Grand Prix (GP) Thailand 2023, Jorge Martin mengakui sudah mula merasai tekanan dalam pemburuan kejuaraan dunia MotoGP yang berbaki tiga pusingan termasuk GP Malaysia, bulan depan.
Selepas Thailand, kempen MotoGP yang ketika ini dipimpin pelumba 'Factory' Ducati, Francesco Bagnaia kembali bersambung di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadual pada 10 hingga 12 November depan.
Di Buriram, Martin menang sekalipun mendapat saingan sengit daripada Bagnaia dan pelumba KTM, Brad Binder di penghujung saingan - pelumba yang disifatkan amat bagus ketika melakukan brek.
Sedikit malang buat Binder, sekalipun melepasi garisan penamat sebagai naib juara, dia diturunkan 'pangkat' sebagai pemenang tempat ketiga selepas dikenakan penalti atas kesalahan melepasi 'Track limit'.
“Brad dan Pecco (Bagnaia) amat hebat dalam melakukan brek. Untuk menewaskan mereka dalam pertarungan seperti ini memberikan perasaan yang menakjubkan," kata Martin dari pasukan satelit Ducati, Pramac tapi menggunakan jentera 'Factory'.
"Ia memberikan saya banyak keyakinan. Saya boleh menjadi salah seorang pelumba terbaik dari sudut membrek juga.
"Saya terpaksa mengendalikan tayar depan saya jadi saya tidak melakukan brek yang terlalu lewat, tetapi sejurus saya perlu melakukan brek dengan kuat, saya mempunyai keyakinan itu.
"Saya gembira. Saya saya adalah untuk mengembalikan semula jurang mata. Saya tidak boleh menipu, saya sudah mula merasai tekanan. Ia sudah tentu.
"Kesilapan yang saya lakukan pada perlumbaan sebelum ini sukar untuk saya telan, tetapi ia membuatkan saya menjadi lebih kuat.
"Saya mula merasainya. Tiga lagi (pusingan) untuk diharungi. Kami amat hampir dan terlalu besar untuk melepaskannya. Kami tidak boleh melakukan kesilapan."
Seperti di Australia, Martin yang memulakan perlumbaan di petak utama memimpin hampir keseluruhan perlumbaan sebelum dihambat kuat Binder dan Bagnaia di penghujung perlumbaan.
Menuju GP Malaysia 2023, Bagnaia ketika ini memiliki kelebihan 13 mata di depan Martin.