MERAH Tapi 'Kosong'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/19/20241 min read


MARC Marquez sah akan tampil dengan seragam berwarna 'Merah' yang juga warna tradisi Ducati Lenovo ketika menjalani sesi latihan pertama MotoGP 2025 di Litar Catalunya, Barcelona, hari ini.
Sekalipun perkara itu sudah dijangkakan, termasuk Marquez turut akan memakai sut berwarna merah, situasi membabitkan penajaan antara pelumba itu dengan pasukan baharunya dijangka bakal mencetuskan persoalan.
Marquez menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Ducati untuk bergandingan dengan Francesco Bagnaia.
Seperti diketahui, juara dunia lapan kali itu adalah atlet minuman tenaga Red Bull namun Ducati Lenovo mempunyai perjanjian dengan satu lagi jenama iaitu Monster Energy.
Selain itu, Marquez turut mempunyai kerjasama dengan Samsung dengan Ducati Lenovo seperti namanya memiliki perjanjian dengan Lenovo.
Antara pelekat yang tidak mencetus persoalan adalah jenama tayar, Michelin dan helmetnya.
Ketika pertama kali menunggang jentera Gresini tahun lalu, jentera yang digunakan Marquez adalah 'kosong' tanpa warna seragam pasukan itu dengan semua penaja peribadi pelumba itu diletakkan di sut lumbanya.
Red Bull seperti diketahui menjadi antara syarikat yang terus memberikan sokongan kepada Marquez terutama ketika pelumba itu sedang mengharungi proses pemulihan susulan kecederaan lengan yang dihadapinya pada 2020.
Marquez membuat debut bersama Ducati menerusi pasukan satelit Gresini Ducati di Valencia pada tahun lalu dan kehadirannya di Ducati Lenovo turut menyaksikan penyingkiran Jorge Martin yang pada akhirnya memenangi gelaran dunia MotoGP pada musim ini bersama Pramac Ducati.
