'MEREKA' Lebih Laju - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/14/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia mengakui dia tidak mampu untuk menghalang Jorge Martin dan Marc Marquez daripada memintasnya di Grand Prix (GP) Perancis 2024 yang menyaksikannya terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-3.

Bagnaia yang memulakan perlumbaan di Le Mans di petak kedua meraih permulaan baik dan memimpin saingan seawal pusingan pertama sebelum dipintas Martin pada pusingan ke-21.

Dan penyandang juara dunia dari pasukan Ducati Lenovo itu ditolak ke tangga ketiga oleh Marquez pada pusingan terakhir.

"Saya cuba melakukan yang semaksimum mungkin tetapi kami perlu mempertimbangkan minggu ini dengan cara yang positif," kata Bagnaia.

"Jumaat berlangsung dengan sempurna dan kemudian ada sedikit isu pada Perlumbaan Sprint yang tidak membenarkan kami menamatkan perlumbaan.

"Hari ini (semalam) mereka berdua (Martin dan Marquez) memang lebih laju. Saya cuba melakukan yang semaksimum mungkin tetapi pada beberapa pusingan terakhir, saya bergelut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan daripada Jerez."

Begitupun, kedudukan ketiga jelas peningkatan buat Bagnaia yang sudah dua kali tidak menamatkan perlumbaan di Le Mans susulan kemalangan.

"Gembira mengenainya tetapi dengan kedudukan ketiga, saya tidak boleh benar-benar berpuas hati. Jadi kami akan ke Barcelona dan cuba untuk melakukan peningkatan."