MESEJ Gitaris Legenda Lonjak Semangat Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/3/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia melengkapkan minggu cemerlang di Grand Prix (GP) Itali 2024 dengan merakam kemenangan berganda, Sprint dan MotoGP - kejayaan pertama diraih pelumba Ducati Lenovo itu musim ini.

Sekalipun terpaksa memulakan perlumbaan di petak kelima susulan penalti yang dikenakan kepadanya, Bagnaia atau lebih dikenali Pecco hanya memerlukan dua selekoh untuk memimpin perlumbaan.

Dan kedudukan itu kekal sehingga penghujung perlumbaan dan tampak cukup selesa tanpa cabaran termasuk daripada pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.

Mengulas kemenangannya, pelumba kelahiran Itali itu - yang turut merakam kemenangan berganda di Mugello musim lalu berkata dia memperoleh kata-kata semangat daripada pemuzik legenda sebelum perlumbaan.

"Hari saya bermula dengan baik kerana saya menerima mesej daripada seorang legenda. Dan dia berkata hari ini (semalam), kamu mungkin akan menang.

"Ia menakjubkan. Saya amat gembira, puas hati, dan amat bangga. Minggu ini cukup menakjubkan. Saya bermula dengan baik dalam perlumbaan dan selama (kelmarin) juga menakjubkan.

"Penting untuk saya mendahului sejak daripada pusingan pertama untuk mengekalkan kelajuan saya. Strategi pada dua selekoh pertama berjalan dengan baik. Lebih daripada itu adalah mustahil."

Legenda yang disebutkan oleh Bagnaia adalah Gene Simmons daripada kumpulan muzik terkemuka, Kiss.

Bagnaia seperti diketahui meminati muzik terutama gitar dan meraikan kejayaannya di Mugello - yang ketiga berturut-turut sejak 2022 - dengan gitar elektriknya.

Kemenangan berganda menyaksikan Bagnaia kini hanya dibezakan dengan 18 mata daripada Martin selepas mengumpul keseluruhan 153 mata dengan Marc Marquez di belakangnya dengan 136 mata.