MFORCE Bakal Perkenalkan Jenama Benda Di MA 2024, Apa Benda Tu?

TERKINI

5/16/20241 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar motosikal terkemuka Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) dijadual menambah beberapa jenama dalam senarai pengedarannya termasuk dengan menerusi kehadiran Benda.

Sekalipun kedengaran agak pelik ketika dibaca, kepada yang tidak tahu, Benda Motorcycle adalah jenama pengeluar automotif termasuk motosikal yang berasal dari negara China.

Sekalipun boleh dikatakan agak baharu dalam arena motosikal, syarikat yang ditubuhkan pada 2016 itu berjaya berkembang menjadi salah satu jenama kompetitif di pasaran dan terkenal dengan inovasi serta rekaan yang menarik.

Dan Malaysia dijadual menjadi destinasi berikutnya oleh syarikat itu dengan kehadirannya adalah menerusi MForce Bike.

Seperti diketahui, MForce Bike dijangka menjadi salah satu syarikat paling sibuk acara di Malaysia Autoshow 2024 yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 26 Mei Mei ini di Maeps, Serdang.

Dan di acara itulah Benda akan diperkenalkan sebelum penawaran pertamanya dijangka hadir pada awal tahun depan.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, antara model yang dijangka bakal dilancarkan oleh Benda Motor Malaysia adalah Benda Dark Flag 500 (seperti yang ditunjukkan dalam iklan 'teaser' di laman sosial rasmi Benda Malaysia) Napoleon 500, LFS 700 (BD700-3) dan LFC 700 (BD700-2).

Seperti biasa, antara daya tarikan terhadap motosikal yang diedarkan oleh MForce adalah membabitkan harga jualan yang menarik. Jadi sama-sama kita nantikan.