MFORCE Bike Harap Program MARiiCas Diteruskan
COO MForce Bike, Asri Ahmad berkata MARiiCas yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 kepada rakyat Malaysia berpendapatan tahunan di bawah RM120,000 sudah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pasaran motosikal elektrik tempatan
TERKINI
10/14/20251 min read


INDUSTRI motosikal dan skuter elektrik negara berdepan risiko kelembapan sekiranya Program Rebat MARiiCas tidak disambung selepas tahun 2026, kata Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike), Asri Ahmad.
Asri berkatam MARiiCas yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 kepada rakyat Malaysia berpendapatan tahunan di bawah RM120,000 sudah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pasaran motosikal elektrik tempatan.
“Jika program ini tidak diteruskan, usaha untuk menggalakkan penggunaan motosikal dan skuter elektrik akan terjejas. Peralihan kepada mobiliti elektrik yang lebih mesra alam juga akan menjadi perlahan,” katanya.
Menurut Asri, industri kenderaan elektrik (EV) dua roda di Malaysia masih berada pada peringkat awal dan memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan untuk bersaing dengan kenderaan konvensional.
“Dengan sokongan yang konsisten, Malaysia bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran domestik, malah berpotensi menarik pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi hijau," katanya.
Sebagai rekod, MForce Bike kini menguasai lebih 84 peratus pegangan pasaran motosikal dan skuter elektrik di Malaysia sehingga tahun ini, hasil pengedaran eksklusif tujuh model daripada jenama seperti Yadea, Zeeho dan QJMotor.
Syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan rangkaian jualan dalam segmen elektrik serta telah melabur dalam pembinaan barisan pengeluaran baharu di kilang pemasangan MForce di Pulau Pinang khusus untuk motosikal dan skuter elektrik.
Semalam, Persatuan Penjual Motosikal Elektrik Malaysia (PPMEM) menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan industri susulan ketiadaan pengumuman rasmi berhubung penyambungan program MARiiCAS bagi tahun 2026.
PPMEM yang mewakili pengedar, penjual dan pengusaha motosikal elektrik di seluruh negara sudah mengemukakan rayuan rasmi kepada Kementerian Kewangan agar program berkenaan diteruskan dan ditambah baik.
Sejak pelaksanaan MARiiCAS, pasaran motosikal elektrik berkembang pesat dan ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan minat pengguna terhadap kenderaan elektrik, tetapi turut membantu kerajaan mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon.
Sementara itu, ada perkembangan positif membabitkan MARiiCas apabila pihak kerajaan ketika ini sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan pelaksanaan program berkenaan sehingga tahun 2026.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, memetik laporan BH, menjelaskan perkara itu kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan selepas program itu mencatatkan kadar penyertaan tinggi sejak dilancarkan pada penghujung 2023.
