MFORCE Bike Kemaskini Kapcai 'Rahmah' SM SPORT 110R (2024), RM 4.2k!
TERKINI
7/26/20241 min read
SYARIKAT pengedar dan pengeluar motosikal tempatan, MForce Bike Holdings (MForce), hari ini mengemaskini penawaran kapcai 'rahmahnya' menerusi pengenalan warna baharu untuk SM Sport 110R (2024).
Tetapi kemas kini yang dijalankan hanya membabitkan 'kosmetik' iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu yang dikatakan lebih menarik dan memberikan kesegaran kepada pelanggannya.
Selain pilihan warna dan corak grafik baharu, turut diperbaharui adalah harga motosikal berkenaan yang kini disyorkan pada angka RM 4,199 (asas).
Sebagai info, ketika dilancarkan pada 2021, SM Sport 110R diperkenalkan pada harga RM 4,018 (asas).
Dan seperti biasa, harga yang diumumkan adalah tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Secara keseluruhan, tiga pilihan warna baharu ditawarkan iaitu Hijau, Merah dan Biru Muda yang dipadankan dengan corak grafik yang menarik.
Memacu kapcai ini adalah enjin bersesaran 109 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Karburator, OHV, yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.
Kuasa yang dihasilkan adalah 6.8 Hp pada 7,500 rpm dan tork 7.6 Nm pada 4,500 rpm.
Sekalipun boleh diposisi dalam segmen 'Rahmah' dan sangat sesuai untuk kegunaan harian, SM Sport 110R turut dipadankan dengan pelbagai ciri-ciri menarik antaranya lampu depan dan belakang jenis LED yang turut memiliki lampu siangan (DRL), rim 'Sukan' bersama tayar jenis tanpa tiub dan pengecas USB.
Untuk keselamatan, motosikal yang memiliki berat 104 kg ini turut dipadankan dengan penggunaan brek cakera dio bahagian hadapan dan brek dram (belakang).
Seperti biasa, setiap pembelian akan menikmati jaminan pengeluar iaitu selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Turut tersedia adalah perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce dan kepada yang berminat, SM Sport 110R (2024) sudah pun berada di cawangan pengedar sah MForce seluruh negara.