MFORCE Bike Kini Huni Tangga Ke-2 Jualan Motosikal Tertinggi Di Malaysia!

Pencapaian itu didorong oleh strategi penawaran produk yang agresif dan meluas MForce Bike selaku pengedar eksklusif pelbagai jenama terkemuka antarabangsa, termasuk CFMoto, QJMotor, Moto Morini, SYM dan pelbagai lagi.

TERKINI

3/19/20261 min read

SYARIKAT pemasang dan pengedar eksklusif motosikal tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pengeluar dan pengedar dengan jualan kedua tertinggi di pasaran Malaysia.

Menurut MForce Bike, pencapaian itu didorong oleh strategi penawaran produk yang agresif dan meluas syarikat selaku pengedar eksklusif pelbagai jenama terkemuka antarabangsa, termasuk CFMoto, QJMotor, Moto Morini, SYM dan pelbagai lagi.

Malah, syarikat milik warga tempatan ini turut mengukuhkan angka jualan menerusi penawaran jenama motosikal sendiri seperti WMoto yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna.

Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad berkata, kejayaan memecahkan dominasi jualan di pasaran tempatan membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk terus melebarkan sayap secara lebih kompetitif.

"MForce kini menduduki tempat kedua di dalam pasaran domestik (dari segi jualan). Lebih membanggakan, MForce juga telah berkembang ke peringkat antarabangsa dengan penubuhan cawangan di luar negara seperti Mforce Indonesia, MForce Vietnam, dan yang terbaharu adalah MForce China.

"Perkembangan ini adalah satu pencapaian yang amat luar biasa, kerana ia membuktikan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia mampu melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat global," katanya.

Asri berkata, pencapaian pesat yang dikecapi MForce Bike ini tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia.

"Oleh itu, saya bagi pihak pengurusan MForce ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anda semua," kata Asri.

Mengulas mengenai hala tuju syarikat tahun ini, Asri menegaskan bahawa MForce akan terus mengorak langkah ke hadapan dengan strategi yang jauh lebih agresif.

Antara inisiatif terbesar yang sedang dirangka adalah penyertaan syarikat itu pada acara berprestij, Malaysia Bike Show 2026, yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Mei depan.