MFORCE Bike Komited Tingkat Kualiti Lepas Jualan, Labur Jutaan Ringgit Bina Hab Di Segambut

Inisiatif strategik ini bertujuan untuk merevolusikan sistem sokongan selepas jualan MForce Bike, sekali gus memperkukuh keyakinan pemilik motosikal di bawah jenamanya terhadap jaminan kualiti perkhidmatan serta komponen

TERKINI

8/18/20251 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar hak eksklusif motosikal terkemuka negara, MForce Bike Holdings Sdn Bhd komited untuk mempertingkatkan perkhidmatan selepas jualan dan ketersediaan alat ganti tulen pengguna motosikal jenama di bawahnya.

Menerusi pelaburan yang dikatakan berjumlah jutaan ringgit, MForce ketika ini sedang membangunkan sebuah hab pusat sehenti berskala besar di Segambut.

Menurut MForce, inisiatif strategik ini bertujuan untuk merevolusikan sistem sokongan selepas jualan syarikat itu, sekali gus memperkukuh keyakinan pemilik motosikal di bawah jenamanya terhadap jaminan kualiti perkhidmatan serta komponen.

Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad ketika mengumumkan perkara berkenaan, baru-baru ini berkata, pusat baharu yang sedang dalam fasa pembinaan itu akan memiliki keluasan 70,000 kaki persegi.

Menurut Asri, fokus utama hab ini adalah untuk menyelesaikan masalah rantaian bekalan alat ganti dan ia akan menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran utama, memastikan setiap pusat servis dan pengedar MForce untuk seluruh rangkaian pengedarnya di seluruh negara..

Selain pusat bagi penyimpanan dan pengedaran komponen alat ganti tulen, kemudahan itu dikatakan juga akan berfungsi sebagai pusat jualan dan servis (3S) utama.

Lokasi hab baharu itu terletak di Segambut, tidak jauh dari pusat servis utama MForce sedia ada, menjadikannya lokasi strategik bagi operasi logistik di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.

Langkah berkenaan dilihat sebagai komitmen jangka panjang MForce selaku pengedar jenama motosikal terkemuka seperti WMoto, SM Sport, Benelli, Keeway, SYM, Yadea, Niu, Moto Morini, Brixton, CFMoto, QJMotor, Ariic, MBP Moto, Cyclone, Kamax dan Voge dalam memastikan kepuasan pelanggan.

Sebelum ini, Asri turut mendedahkan perancangan syarikat untuk memperluaskan lagi kilang pemasangan sedia ada di Pulau Pinang dengan pembesaran itu menjadi sebahagian daripada pelan pertumbuhan syarikat itu untuk meningkatkan kapasiti pemasangan bagi menampung pengenalan model-model baharu pada masa akan datang.