MFORCE Bike Kongsi Pembangunan 'Supermoped' Klac Auto Kepada Media, KOL Malaysia

Motosikal yang akan dipadankan dengan enjin 150 cc itu dijangka MForce Bike siap sepenuhnya dan dijadual akan dilancarkan pada tahun depan dan ia akan menggunakan lencana LETBE

TERKINI

9/8/20261 min read

BUKAN rahsia syarikat pengeluar dan pengedar eksklusif motosikal Malaysia, MForce Bike sedang membangunkan motosikal 'Supermoped' bersesaran 150 cc yang dilengkapi transmisi klac automatik dan pengesahan terbaharu ia adalah hasil kerjasama bersama pengeluar motosikal China, LETBE.

Sedar dengan keterujaan projek rahsia yang menelan belanja jutaan ringgit itu, MForce Bike membawa 20 pengamal media dan pempengaruh automotif Malaysia terpilih untuk melihat dengan sendiri kemajuan pembangunan motosikal itu di pusat R&D LETBE di Guangzhou, baru-baru ini.

Tetapi sedikit mengecewakan, tiada rakaman gambar dan video dibenarkan yang menjadikan pendedahan rupa bentuk motosikal berkenaan yang masih berbentuk model tanah liat hanya sekadar tatapan mata.

Difahamkan, motosikal berkenaan dijangka siap sepenuhnya dan dijadual akan dilancarkan pada tahun depan dan ia akan menggunakan lencana LETBE.

Dari segi mekanikal, inovasi paling mencuri tumpuan pastinya penggunaan transmisi 5 kelajuan dengan klac auto yang dipadankan dengan enjin 150 cc, gabungan yang amat ditunggu-tunggu oleh peminat kapcai tempatan yang mahukan motosikal kapcai berprestasi tanpa perlu menarik tuil klac.

Bagi menyaingi pasaran 'Supermoped' sedia ada, ia dijangka sarat dengan ciri moden.

Antara yang dapat disahkan setakat ini termasuklah penggunaan sistem penghidup tanpa kunci, paparan meter TFT dengan sambungan telefon pintar, serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Info menarik lain juga adalah ia bakal dilengkapi tangki bahan api berkapasiti besar sekitar 7 liter tetapi pihak pengeluar mengesahkan model ini tidak akan disertakan dengan fungsi Sistem Kawalan Cengkaman.