MFORCE Bike Labur RM 10 Juta Bangunkan 'Skuchai'

Pelaburan terhadap projek 'Skuchai' merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan reka bentuk, ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa

TERKINI

3/5/20262 min read

MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) terus membuktikan komitmen syarikat itu terhadap industri dua roda tempatan apabila mengeluarkan pelaburan sejumlah RM 10 juta bagi membangunkan motosikal berkonsepkan inovasi unik gabungan skuter dan kapcai dikenali sebagai 'Skuchai'.

Dipadankan dengan enjin 200 cc, model berkenaan disifatkan sebagai yang pertama di dunia kerana ia menggabungkan tiga elemen utama dalam satu platform serba baharu iaitu reka bentuk skuter, platform enjin kapcai, dan sistem transmisi automatik CVT.

Menurut syarikat itu, inovasi berani ini bakal menawarkan tahap ergonomik dan keselesaan ala skuter, namun mengekalkan ketahanan serta struktur ringan seperti moped.

Dan pada masa sama, penggunaan sistem CVT menjanjikan tunggangan automatik sepenuhnya tanpa penukaran gear manual, sekali gus menjadikannya jentera praktikal untuk kegunaan harian di kawasan bandar, selain sesuai untuk tunggangan jarak sederhana berkonsepkan pengembaraan ringan.

Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad, berkata pelaburan bernilai RM 10 juta itu merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan reka bentuk, ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal bagi memenuhi keperluan pasaran domestik dan antarabangsa.

"Visi kami adalah untuk mencabar norma industri dengan memperkenalkan sesuatu yang benar-benar baharu di peringkat global.

"Dengan menggabungkan reka bentuk skuter, enjin berasaskan moped dan sistem CVT dalam satu platform, kami berjaya menghasilkan satu konsep unik yang belum pernah diketengahkan sebelum ini. Ia bukan sekadar produk, tetapi penciptaan satu kategori baharu dalam industri motosikal," katanya.

Menariknya, pembangunan model itu turut membabitkan kepakaran tempatan apabila jurutera Malaysia memainkan peranan penting dalam cetusan idea konsep awal, lakaran reka bentuk dan penghasilan model tanah liat sebelum ia memasuki fasa pengeluaran.

Projek ini turut membabitkan kerjasama strategik bersama syarikat rakan teknologi MForce di China, yang mana ia menjadi tugasan pertama syarikat sejak penubuhannya pada awal 2025 bagi memperkukuh aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan jentera itu, Asri memaklumkan prototaip 'Skuchai' kini sudah siap sepenuhnya dan sedang melalui fasa penghasilan unit pra-pengeluaran.

"Unit ini sedang menjalani ujian ketahanan serta penilaian prestasi menyeluruh, merangkumi simulasi penggunaan harian dan ujian jarak jauh bagi memastikan tahap kualiti serta keselamatannya berada pada standard terbaik sebelum dipasarkan," kata Asri.

Lebih menarik, penantian untuk melihat projek ini dijangka tidak lama apabila ia dijadual membuat kemunculan sulung pada pameran Malaysia Bike Show 2026 pada Mei depan.