MFORCE Bike Lancar Benda Chinchilla 500 (2025) di Malaysia, RM 27.9k!

PELANCARAN

3/20/20251 min read

SATU lagi model kruiser menarik menerjah pasaran tempatan, hari ini menerusi Benda Malaysia yang melancarkan penawaran terbaharunya, Benda Chinchilla 500 (2025).

Seperti namanya, Benda Chinchilla 500 (2025) adalah model kruiser aras tengah yang dihasilkan menerusi gabungan gaya menarik, hamburan kuasa memuaskan dan sarat teknologi terkini.

Sebelum pergi lebih jauh, harga pengenalan yang diumumkan oleh MForce Bike Holdings (MForce) terhadap Benda Chinchilla 500 adalah RM 27,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Tiga pilihan warna tersedia iaitu:

  • Hitam

  • Biru

  • Kelabu

Tampil dengan rekaan tipikal kruiser yang moden dengan posisi tunggangan santai, Benda Chinchilla 500 dipadankan dengan enjin bersesaran 475.6 cc, 2 Silinder V-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Menggunakan pacuan tali sawat, kuasa dihasilkan adalah 47 Hp pada 9,000 rpm dan tork 42 Nm pada 7,500 rpm.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan turut memiliki Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Sistem suspensi dipadankan dengan fork teleskopik jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak berkembar (belakang).

Info lain adalah seperti berikut:

  • Tangki bahan api 16 liter

  • Panel meter digital berbentuk bulat

  • Dua jenis port pengecasan USB iaitu Type-A, Type-C

  • Berat 215 kg

  • Tinggi pelana 705 mm

  • Set roda 150/80-16 (depan), 180/65-16 (belakang)

Kepada yang berminat, Benda Chinchilla 500 sudah pun berada di cawangan pengedar-pengedar sah MForce seluruh Malaysia bermula hari ini.

Dan sebelum terlupa, setiap pembelian Benda Chinchilla 500 datang dengan jaminan pengeluar berupa perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun.