MFORCE Bike Perkenal Jenama ARIIC, Lancar Skuter ARIIC 318GT (2025), RM 22.8k!

PELANCARAN

4/28/20252 min read

PENAWARAN dalam segmen skuter di pasaran tempatan terus meriah apabila MForce Bike, hari ini memperkenalkan jenama terbaharu di bawah edaran syarikat itu, ARIIC.

Turut berlangsung sempena majlis pengenalan jenama yang memfokuskan terhadap model skuter itu adalah pelancaran model pertamanya di pasaran tempatan iaitu skuter maxi ARIIC 318GT (2025).

Sekalipun nama ARIIC mungkin kedengaran sedikit asing, jenama itu adalah salah satu 'kuasa' dalam segmen skuter di China dan memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam pembuatan skuter menerusi syarikat induknya.

Berbalik kepada ARIIC 318GT (2025), harga jualan yang ditawarkan cukup menarik iaitu asas RM 22,888.

Seperti biasa, angka berkenaan tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Tiga warna pilihan diperkenalkan iaitu Matt Black, Dark Grey dan Matt Grey dengan setiap satunya tampil dengan corak 'kamo' di bahagian panel depan.

Dari sudut penampilan, ARIIC 318GT (2025) tampil dengan perwatakan skuter maxi sejati dengan rekaan moden dan boleh dikatakan 'tak kalah' daripada penawaran sedia ada di pasaran ketika ini.

Bersama harga jualan yang menarik, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 330 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah 27.6 Hp pada 7,000 rpm dan tork 30.8 Nm pada 5,500 rpm.

Selain rekaan menarik, daya penarik lain buat ARIIC 318GT (2025) adalah ia menggunakan brek cakera berkembar bersaiz 260 mm (depan) dengan cakera tunggal 240 mm (belakang).

Seperti biasa, ia dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak berkembar belakang.

Turut dipadankan dengan visor angin boleh laras menggunakan kuasa elektrik, ARIIC 318GT (2025) turut dipadankan dengan sistem kunci pintar PKE (Passive Keyless Entry) dan memiliki TPMS (Tyre Pressure Monitoring System).

Informasi lain adalah seperti berikut:

  • Dimensi 2215 mm (panjang), 780 mm (lebar), 1395 mm (tinggi), 1540 mm (jarak antara roda), 145 mm (jarak lega bumi)

  • Berat 208 kg

  • Tangki bahan api 16 liter

  • Set roda 120/70-14 (depan), 150/70-13 (belakang).

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter TFT berwarna

  • Kamera 'dashcam'

Dari sudut praktikaliti, ARIIC 318GT (2025) dilengkapkan dengan ruang simpanan depan kiri yang tersedia port pengecasan USB (Type-A & Type-C), ruang simpanan depan tengah dan ruang simpanan bawah pelana yang katanya mampu memuatkan sebuah helmet 'full face' dan sebuah helmet 'half face'.

Menurut MForce, ARIIC 318GT (2025) sudah pun tiba di cawangan pengedar sah syarikat itu seluruh negara.