MFORCE Bike Perkenalkan Insentif MForce.Cas, Rebat Motosikal Elektrik Hingga RM 2.4k!

Pengenalan Insentif MForce.Cas tiba tepat pada masanya ketika program MARiiCas atau Skim Galakan Motosikal Elektrik kerajaan ketika ini masih dalam status 'tek-teki' sama ada akan dilanjutkan atau tidak

TERKINI

4/1/20261 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar eksklusif motosikal tempatan, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. (MForce Bike) mengambil inisiatif merancakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dua roda dengan memperkenalkan kempen rebat MForce.Cas.

Menerusi program insentif terbaharu itu, pembeli berpeluang menikmati rebat pembelian motosikal elektrik di bawah MForce Bike sehingga RM 2,400 bermula 1 April 2026 hingga 30 Jun 2026.

Seperti diketahui, program MARiiCas atau Skim Galakan Motosikal Elektrik kerajaan ketika ini masih dalam status 'tek-teki' sama ada akan dilanjutkan atau tidak.

Sebagai rekod, MARiiCas adalah skim pemberian rebat sejumlah RM 2,400 bagi tujuan pembelian atau langganan motosikal elektrik jenis CKD kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Berbalik kepada MForce.Cas, MForce menjelaskan program itu diperkenalkan bertepatan dengan keperluan semasa bagi menawarkan alternatif mobiliti harian yang lebih menjimatkan, efisien serta mesra alam, khususnya ketika rakyat berdepan ketidaktentuan harga bahan api ketika ini.

Melalui program ini, pengguna boleh menggunakan rebat tersebut untuk memiliki barisan motosikal elektrik berteknologi moden dan cekap tenaga di bawah naungan MForce, membabitkan jenama seperti EZI, ZEEHO, YADEA, dan QJMOTOR.

Lebih menarik, inisiatif MForce.Cas ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia bagi memastikan manfaat mobiliti elektrik dapat dinikmati secara meluas tanpa mengira latar belakang.

Justeru, orang ramai diseru untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi beralih kepada pilihan pengangkutan yang lebih ekonomik dan mampan selagi stok masih ada.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari: https://mforcecas.my