MFORCE Bike Pertontonkan Benda Napoleon Bob 250, Lancar Tahun Depan, Harga Bawah RM 25k!

TERKINI

10/7/20241 min read

SATU lagi penawaran menarik dalam segmen 'Kruiser' moden bakal dibawa masuk syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. (MForce Bike) ke pasaran tempatan menerusi Benda Napoleon Bob 250 (2025).

Dipertontonkan ketika pelancaran MForce Best Shop di Ipoh, Perak yang dikendalikan Hoong Fatt Motoworld, begitupun motosikal berkenaan hanya akan mula memasuki pasaran pada tahun depan.

Seperti 'saudaranya' Benda Napoleon Bob 500 (2024) yang dilancarkan ketika Malaysia Autoshow pada Mei lalu, Benda Napoleon Bob 250 (2025) turut tampil dengan rekaan yang menarik dan futuristik.

Di bahagian trenkuasa, Benda Napoleon Bob 250 (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 2 Silinder V-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.

Ia kemudian digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan 'Slipper' klac.

Kuasa yang dihamburkan motosikal ini adalah 25.4 Hp pada 9,000 rpm dengan tork 25 Nm pada 5,500 rpm.

Turut menarik adalah sistem suspensi hadapan yang dipadankan kepada Benda Napoleon Bob 250 (2025) iaitu fork teleskopik yang turut mempunyai 'spring' tambahan untuk memberikan lebih keselesaan dan kawalan.

Suspensi belakang pula menggunakan penyerap hentak berkembar lengkap dengan ciri pelarasan (preload).

Menggunakan brek cakera tunggal (depan/belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, ia turut dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, panel meter yang digunakan pula adalah jenis digital LCD.

Informasi lain adalah seperti berikut:

  • Set roda 130/80-18 (depan), 160/70-18 (belakang)

  • Berat 182 kg

  • Tinggi pelana 748 mm

  • Tangki bahan api 9.5 liter

Dua pilihan warna bakal ditawarkan untuk Benda Napoleon Bob 250 (2025) iaitu Black dan Silver.

MForce Bike menjelaskan, Benda Napoleon Bob 250 (2025) bakal dilancarkan pada awal tahun depan bersama harga yang dianggarkan bermula daripada RM 20,000 hingga RM 25,000 (asas).