MFORCE Bike Sah Tak Sertai MA25, Bakal Anjur Acara Sendiri Pada 2026!

TERKINI

4/14/20251 min read

MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) mengesahkan syarikat itu tidak akan mengambil bahagian dalam acara Malaysia Autoshow 2025 (MA25).

Syarikat pengedar dan pengeluar motosikal ternama negara itu berkata mereka terpaksa melepaskan hasrat untuk menyertai MA25 berikutan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Tetapi yang menariknya, MForce Bike mengambil keputusan untuk menganjurkan acara mereka sendiri iaitu MForce Motoshow yang dijadual berlangsung pada tahun 2026.

Menurut MForce Bike, penganjuran MForce Motoshow adalah sebagai cara syarikat itu untuk menghargai para pengguna motosikal di bawah naungan mereka selain memberi pendedahan dan membina kepercayaan terhadap jenamanya.

Selain pameran, MForce Bike yang juga sebagai salah satu jenama utama dalam industri automotif tempatan turut merangka pelbagai aktiviti menarik pada acara berkenaan.

Antara yang dirancang adalah:

  • Pameran model sedia ada

  • Pelancaran model terbaharu

  • Pameran model prototaip

  • Tunggang uji

  • Pertunjukan aksi lagak ngeri

  • Ruang berkhemah

Seperti diketahui, MForce Bike pada MA24 melakukan sewaan penuh terhadap salah satu ruang dewan di acara berkenaan. Pada acara itu, mereka turut melancarkan 18 model baharu serta mempamerkan 80 model sedia ada dan bakal memasuki pasaran.

Jenama-jenama berkenaan termasuklah Benelli, Keeway, Morbidelli, Benda, QJMotor, SYM, Brixton, Moto Morini, Cyclone, Voge dan Yadea serta jenama MForce Bike sendiri, SM Sport dan WMOTO.

Sebagai syarikat yang memiliki visi yang tinggi, MForce Bike turut mempunyai salah satu salah satu fasiliti pemasangan motosikal terbesar di Malaysia yang terletak di Pulau Pinang menerusi Sunlight Power Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2017.

Kepada yang tidak tahu, MForce Bike bukan sekadar antara peneraju utama di pasaran Malaysia, malah turut dipercayai sebagai pengeksport motosikal ke negara-negara Asia seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan.

Perkembangan itu mencerminkan komitmen MForce Bike untuk terus bergerak ke depan dalam usaha menawarkan motosikal berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang cemerlang merentasi sempadan.