MFORCE Bike Sedang 'Goreng' Sesuatu, Jenama Asal Eropah Dalam Perjalanan!

Delegasi MForce diketuai COO, Asri Ahmad mengadakan kunjungan kerja ke ibu pejabat Keeway Group di Barcelona, Sepanyol diberi taklimat menyeluruh serta dibawa melihat fasiliti utama termasuk pusat reka bentuk, makmal pembangunan produk dan jabatan kawalan kualiti

TERKINI

11/4/20251 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar motosikal terkemuka tempatan, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd seperti didedahkan sebelum ini sedang berusaha untuk memperkukuh kedudukannya di peringkat global dan menariknya, salah satu perancangan pengembangannya adalah memiliki kepentingan dalam sebuah jenama motosikal terkemuka di Eropah.

Dan untuk merealisasikannya, pihak pengurusan tertinggi MForce baru-baru ini mengadakan kunjungan kerja ke ibu pejabat Keeway Group di Barcelona, Sepanyol.

Selain daripada salah satu langkah strategik dalam usaha MForce memperluas jaringan kerjasama globalnya, khususnya bersama Keeway Group yang merupakan antara pengeluar motosikal terkemuka dunia, lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari amalan terbaik perkhidmatan selepas jualan yang dilaksanakan Keeway Group di Eropah.

Delegasi MForce diketuai Ketua Pegawai Operasi, Asri Ahmad diberi taklimat menyeluruh serta dibawa melihat fasiliti utama Keeway Group termasuk pusat reka bentuk, makmal pembangunan produk dan jabatan kawalan kualiti.

Kedua-dua pihak turut mengadakan sesi perbincangan strategik yang memfokuskan kepada pembangunan model baharu, kerjasama teknologi dan perancangan pengedaran serantau, khususnya bagi pasaran Asia Tenggara.

Kata Asri, kunjungan itu menjadi titik tolak kepada fasa baharu dalam perancangan pengembangan global MForce selain mengukuhkan kedudukan MForce sebagai wakil rasmi Keeway Group di rantau Asia Tenggara.

Malah, MForce berhasrat untuk menyesuaikan pendekatan itu di Malaysia bagi meningkatkan kepuasan pelanggan dan memperkukuh kepercayaan terhadap jenama-jenama di bawah naungannya.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen Mforce untuk terus memperkukuh hubungan strategik antarabangsa serta meningkatkan tahap inovasi dalam industri motosikal tempatan,” kata Asri.

Kata Asri lagi, lawatan ini juga menjadi titik tolak kepada fasa baharu dalam perancangan pengembangan global Mforce.

MForce seperti diketahui sudah memulakan beberapa perancangan strategik untuk memiliki pegangan ke atas sebuah jenama motosikal terkenal dari Eropah sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat.

“Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk memperluas kehadiran di pasaran global dan membawa kepakaran Eropah ke dalam pembangunan produk MForce,” kata Asri.