MFORCE Bike Serah CFMoto 1250TR-G, Brixton K750GT, Moto Morini X-CAPE 1200 Untuk Program PoC PDRM

Inisiatif MForce Bike dan PDRM dilaksanakan menerusi Program Proof of Concept (PoC) selama tiga bulan membabitkan penyerahan 6 unit motosikal merangkumi dua unit bagi setiap model iaitu CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200

TERKINI

10/26/20261 min read

TIGA model motosikal berkuasa tinggi edaran MForce Bike iaitu CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200 diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diuji kemampuan dan kesesuaiannya dalam penugasan operasi jabatan itu.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Proof of Concept (PoC) selama tiga bulan membabitkan penyerahan 6 unit motosikal merangkumi dua unit bagi setiap model iaitu CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200.

Majlis penyerahan motosikal berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad kepada Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, di ibu pejabat MForce di Valdor, Pulau Pinang, hari ini.

Sesuatu yang menarik dalam siri penilaian kali ini, pihak JSPT dibekalkan dengan platform jentera yang berbeza fungsi khusus untuk dinilai secara menyeluruh mengikut spesifikasi tugas kepolisan.

Model CFMOTO 1250TR-G dan BRIXTON K750GT diketengahkan khusus sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi, manakala MOTO MORINI X-CAPE 1200 pula tampil unik sebagai jentera dwi kegunaan yang mampu meredah pelbagai bentuk rupa bumi.

Menurut MForce, program percubaan selama tiga bulan itu memberi ruang kepada anggota JSPT untuk menguji sendiri aspek pengendalian, tahap keselesaan tunggangan, serta fungsi kelengkapan model berkenaan.

"Melalui program ini, MForce berpeluang memahami dengan lebih dekat keperluan anggota yang menggunakan motosikal dalam menjalankan tugas.

"Maklum balas daripada pihak JSPT sepanjang tempoh penilaian ini akan menjadi asas penting kepada proses penambahbaikan dan penyesuaian sebelum sebarang langkah seterusnya dipertimbangkan," Asri.

MForce menjelaskan, pelaksanaan PoC bersama agensi penguatkuasaan seperti PDRM adalah satu langkah strategik dalam usaha membangunkan penyelesaian mobiliti yang lasak, efisien dan bersesuaian dengan cabaran tugas anggota keselamatan negara.