MFORCE Dijadual Bawa Masuk Benelli TRK 800, Pelancaran Tahun Depan?

TERKINI

9/6/20231 min read

SUSULAN populariti yang dimilikinya berikutan penawaran harganya yang agak 'marhaen', tak susah untuk melihat kelibat model 'Adventure touring' Benelli TRK 502 atau TRK 502 X di jalan raya Malaysia.

Tetapi perlu diakui yang kehadiran ramai pencabar lain, terutama dari China berjaya 'menggoyahkan' kedudukan model berkenaan ketika ini.

Bernaung di bawah syarikat MForce Bike Holdings (MForce) yang turut bertindak sebagai pengedar rasmi kepada QJ Motor, CFMoto, Moto Morini, Brixton, SYM, Keeway dan WMoto, perlu diakui persaingan kepada Benelli TRK 502 bukan calang-calang.

Begitupun menurut laporan rakan media Moto Malaya, 'takhta' itu bakal kembali dicabar selepas MForce dikatakan akan membawa masuk 'abang' kepada Benelli TRK 502 iaitu Benelli TRK 800 ke pasaran tempatan tahun depan.

Kepada yang tak tahu, Benelli TRK 800 membuat kemunculannya di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu.

Dari sudut rekaan dan penggayaan, Benelli TRK 800 tampil dengan rekaan tipikal 'Adventure touring' yang garang dan perubahan berkenaan memang amat dinantikan.

Tetapi apa yang paling dinantikan adalah peningkatan prestasinya menerusi padanan enjin bersesaran 754 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, trenkuasa sama digandingkan dengan model Benelli Leoncino 800.

Menggunakan sistem transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Assist & Slipper', kuasa yang dihasilkan adalah 76.2 Hp pada 8,500 rpm dan tork 67 Nm pada 6,500 rpm.

Menggunakan kerangka tubular trellis, sistem suspensi Benelli TRK 800 dijana fork depan jenis terbalik (USD) 50 mm dari jenama Marzocchi (boleh laras) dan penyerap hentak tunggal (belakang) juga dengan ciri pelarasan.

Di bahagian brek, Benelli juga tak kedekut dengan memadankan motosikal ini brek cakera berkembar bersaiz 320 mm dengan kaliper Brembo 4 piston (depan) dan penyerap hentak tunggal 260 mm (belakang).

Set roda menggunakan rim jejari bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) yang dibalut dengan tayar jenis dual purpose.

Sebagai model terbaharu, Benelli TRK 800 datang dengan sistem lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna 7 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit dan tangki bahan api 21 liter untuk tunggangan jarak jauh.