MFORCE Jawab Isu Tular Benda LFC700PRO, Kes Dah Selesai Ikut Tribunal
MForce menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh pemilik motosikal berkenaan sudah pun ditangani sepenuhnya mengikut prosedur dan saluran perundangan yang sah
TULAR
9/10/20251 min read


SELAKU pengedar rasmi jenama motosikal Benda di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) hari ini tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab isu tular di media sosial mengenai ketidakpuasan hati seorang pengguna terhadap kualiti model motosikal Benda LFC700PRO.
Dalam kenyataan itu, MForce mengesahkan bahawa isu yang dibangkitkan oleh pemilik motosikal berkenaan sudah pun ditangani sepenuhnya mengikut prosedur dan saluran perundangan yang sah.
Menurut MForce, beberapa langkah sudah diambil bagi menyelesaikan perkara itu antaranya, motosikal milik pengguna itu sudah dibaik pulih sepenuhnya di bawah tempoh jaminan produk.
Selain itu, pihak pengurusan MForce mendedahkan bahawa pemilik motosikal itu sudah pun membawa kes ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Dan selepas prosiding dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan, satu keputusan sudah pun dicapai.
"Dengan ini, pihak kami menegaskan bahawa isu itu sudah selesai melalui saluran yang sah," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, MForce melahirkan rasa kesal terhadap penyebaran isu berkenaan di media sosial, yang didakwa dibuat dengan cara tidak wajar sehingga berpotensi menjejaskan nama baik syarikat dan jenama Benda.
Sehubungan itu, MForce memberi bayangan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindungi reputasi syarikat.
“Pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi reputasi syarikat serta memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat serta perkhidmatan selepas jualan yang baik seperti yang dijanjikan,” tegas kenyataan itu lagi.
Mforce turut mengulangi komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan menjadikan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan. Syarikat itu juga memberi jaminan bahawa semua produk di bawah pengedarannya dilindungi oleh jaminan sah dan sebarang isu teknikal akan ditangani secara profesional.
