MFORCE Kemas Kini Skuter WMoto RT1 (2024), Harga Asas Kekal 9.9k!
TERKINI
8/13/20241 min read


MFORCE Bike melancarkan penawaran terbaharunya WMoto RT1 pada Januari lalu dan selepas beberapa bulan, skuter maxi bersesaran 150 cc, hari ini memperoleh beberapa kemas kini termasuk penawaran pilihan warna baharu.
Dari sudut 'kosmetik', tiga pilihan warna baharu yang dikatakan lebih menarik dan mampu memikat hati penggemar skuter itu adalah Sky Blue, Matte Red dan White.
Selain pilihan warna, turut dikemaskini adalah corak grafik yang dikatakan lebih kemas dan menarik.
Tetapi apa yang lebih menarik, MForce turut mengekalkan harga jualan asas WMoto RT1 (2024) seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu RM 9,888.
Harga yang diumumkan itu seperti biasa tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Dan bukan setakat perubahan pilihan warna dan corak grafik, MForce berkata pembaharuan atau penambahbaikan yang dibuat terhadap WMoto RT1 (2024)adalah penambahan port pengecas USB di ruang simpanan bahagian depan.
Mengulas spesifikasi WMoto RT1 (2024), ia dijana enjin bersesaran 149.3 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik.
Kuasa yang dihamburkan adalah 15.4 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,750 rpm.
Dengan rekaan yang moden dan tampak eksklusif, WMoto RT1 (2024) turut dipadankan dengan pelbagai ciri menarik dan premium antaranya Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan penggunaan panel meter jenis TFT berwarna.
Dan mungkin paling mengujakan adalah ia turut tersedia dengan kamera papan pemuka hadapan yang mempunyai kualiti rakaman 1080p.
Selain itu juga, ia turut dipadankan dengan sistem Kunci Pintar, sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan sistem lampu LED penuh.
Kepada yang berminat, WMoto RT1 (2024) lengkap dengan kemas kini terbaharu ini sudah pun boleh didapati di mana-mana pengedar sah MForce di seluruh Malaysia.
Seperti biasa, setiap pembelian WMoto RT1 (2024) akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).






