MFORCE KL Dirasmikan, Pusat Sehenti Motosikal Terbesar Di Malaysia

MForce KL menjadi bukti komitmen berterusan MForce Bike dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara peneraju industri motosikal tempatan

PELANCARAN

2/1/20262 min read

SYARIKAT pengedar dan pengeluar motosikal terkemuka tempatan, MForce Bike Holdings (MForce Bike) melakar satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan Pusat Servis dan Pejabat Urusan MForce Kuala Lumpur (KL) yang menjadi hab wilayah tengah syarikat itu, hari ini.

Sebagai hab wilayah tengah, MForce KL yang terletak di Segambut, KL memiliki keluasan 77,000 kaki persegi bersama nilai pelaburan RM 40 juta memiliki segala-galanya termasuk pusat servis motosikal terbesar di Malaysia.

Dan ia sememangnya direka bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan, tetapi menyokong kapasiti penyelenggaraan berskala tinggi serta meningkatkan kecekapan operasi termasuk dari sudut ketersediaan alat ganti.

Langkah strategik itu bukan sahaja memperluas rangkaian sokongan selepas jualan, malah memastikan pelanggan khususnya di sekitar Lembah Klang menikmati akses lebih mudah kepada produk, servis dan alat ganti rasmi keluaran MForce sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara peneraju industri motosikal tempatan.

Asri dalam ucapannya berkata pembukaan MForce KL adalah detik penting dan amat bermakna kepada syarikat itu sekali gus membuktikan perjalanan pertumbuhan syarikat yang selari dengan aspirasi untuk membina imej jenama yang lebih kukuh, mampan dan bertaraf global.

"Kami bukan sekadar melihat MForce KL sebagai sebuah bangunan yang baharu, tetapi ia sebagai satu pelaburan strategik jangka panjang, yang mencerminkan komitmen MForce, terhadap kecekapan operasi, kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang konsisten."

Menggunakan konsep pusat sehenti, MForce KL yang menawarkan rangkaian kemudahan komprehensif seperti:

  • Ruang pameran MForce Gallery yang mempamerkan 16 susun atur pelbagai jenama di bawah MForce

  • Ruang menunggu pelanggan yang luas dan selesa

  • Restoran CR Cafe

  • Pusat alat ganti serta gudang penyimpanan alat ganti bagi rangkaian produk MForce

Kemudahan sokongan lain turut tersedia seperti surau, ruang menunggu pelanggan serta ruang pameran dan jualan produk LS2 dan Mforce Oil turut disediakan bagi melengkapkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.

Lebih menarik, selain memilik 18 unit 'motorcycle hydraulic lift' untuk proses servis dan baik pulih, ia turut dilengkapi Motorcycle Inspection Test Bench bernilai RM 1.5 juta, yang membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan keadaan motosikal termasuk sistem brek, pencahayaan serta penjajaran badan, sejajar dengan piawaian industri.

Perasmian MForce KL disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong.

Pelancaran turut disertai barisan pengurusan tertinggi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengarah Urusan MForce Bike, Datuk Sri Tan Lean Heah, Ketua Pegawai Operasi, Asri Ahmad, Pengurus Jualan Kanan, Tang Hai Teik, Pengurus Jalan, Alex Lim Juinn Han dan Woon Huey Li.

Apa yang menarik, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran rakan prinsipal MForce global, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Muhammad Zameer Zahur Hussain, wakil MForce Premium Outlet, pengedar dan stokis MForce, rakan niaga institusi kredit, tetamu jemputan serta komuniti dan kelab motosikal MForce.