MFORCE Serius Intai Peluang Bawa ZXMoto 820RR Beraksi Di ARRC, MSBK

Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad sebagai pengedar eksklusif jenama itu mendedahkan pihaknya sedang menimbangkan penyertaan ZXMoto dalam ARRC menggunakan model supersport popular, ZXMoto 820RR

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/17/20261 min read

KEHADIRAN pengasas ZXMoto, Zhang Xue di Malaysia memberi peluang kepada media tempatan untuk berdiskusi dengannya dan antara soalan yang menarik diajukan adakah jenama yang 'kuat' dengan arena sukan permotoran itu mahu menyertai kempen bertaraf benua - Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Tampil memberi penjelasan, Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad sebagai pengedar eksklusif jenama itu mendedahkan pihaknya sedang menimbangkan penyertaan ZXMoto dalam ARRC menggunakan model supersport popular, ZXMoto 820RR.

Menurut Asri, perbincangan awal sudah pun diadakan bersama Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg, selaku penganjur di kejuaraan berprestij itu.

Katanya, fokus utama perbincangan ketika ini adalah menjurus kepada proses homologasi memandangkan kapasiti enjin ZXMoto 820RR adalah lebih besar berbanding kelas perlumbaan SS600.

"Untuk membawa ZXMoto 820RR beraksi di ARRC, Ron Hogg ada menyentuh secara terperinci mengenai proses homologasi.

"Bagi model 820RR ini, ada kemungkinan pihak penganjur akan meletakkannya di bawah spesifikasi kategori 600cc (SuperSports 600) untuk saingan ARRC dan juga Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK). Kami masih terbuka untuk terus berbincang mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Asri turut berharap supaya perancangan berkenaan mendapat 'lampu hijau' dan bantuan sepenuhnya daripada pihak prinsipal ZXMoto di China.

"Saya amat berharap pengasas ZXMoto, Zhang Xue dapat memberikan sokongan penuh kepada MForce dan ZXMoto Malaysia Racing untuk menyertai perlumbaan ini kelak," katanya.

Sebagai rekod, ARRC menjadi kejuaraan motosikal elit dan paling berprestij di Asia dan ia menghimpunkan barisan pelumba terbaik dari seluruh benua Asia, selain menjadi platform pengeluar motosikal membuktikan ketahanan dan kelajuan jentera masing-masing.