MFORCE Vietnam Dirasmikan, Cawangan Pertama Dibuka di Ho Chi Minh City!
Sejarah baharu dilakar MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) apabila secara rasmi melancarkan MForce Vietnam dengan cawangan pertama pusat jualan lengkapnya di bandar raya Ho Chi Minh
PELANCARAN
11/26/20251 min read


SYARIKAT pengedar dan pengeluar motosikal terkemuka Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike), melakar sejarah baharu apabila secara rasmi melancarkan MForce Vietnam, hari ini dengan cawangan pertama pusat jualan lengkapnya di bandar raya Ho Chi Minh.
Menurut MForce Bike, langkah itu menandakan strategi pengembangan serantau syarikat dalam memperkukuh kedudukan jenama di pasaran Asia Tenggara, sekali gus turut membuka peluang lebih luas kepada pelanggan di Vietnam untuk memiliki motosikal edaran dan keluaran mereka.
Dengan pelancaran ini, beberapa jenama terkenal khususnya dari China seperti QJMotor, Cyclone, Benelli, Morbidelli, Benda, CFMoto, Voge, dan WMoto kini ditawarkan secara rasmi kepada pelanggan tempatan melalui MForce Vietnam.
Sempena pelancaran MForce Vietnam, tiga model baharu turut dilancarkan untuk pasaran negara berkenaan iaitu satu daripada Voge dan dua daripada QJMotor.
QJMotor SRV400 - VDN 185,000,000 (RM 28,979)
QJMotor SRV600 - VDN 135,000,000 (RM 21,147)
Voge DS900X VDN 320,000,000 (RM 50,126)
Untuk model QJMotor, ia adalah motosikal dalam segmen kruiser yang menarik manakala Voge DS900X adalah model 'Adventure touring' yang berjaya mencetus sensasi di beberapa negara termasuk Malaysia.
Ketiga-tiga model ini menampilkan teknologi terkini serta reka bentuk moden yang diyakini mampu menarik minat peminat motosikal berkuasa tinggi di Vietnam.
Ketika pelancarannya, Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad berkata pihak MForce Vietnam merancang untuk membuka 10 cawangan menjelang 2026.
Ia termasuk sebuah cawangan utama di Hanoi dengan fokus syarikat ketika ini adalah kepada motosikal berkuasa tinggi dengan sesaran enjin melebihi 250 cc memandangkan struktur cukai yang menarik dalam segmen itu di Vietnam.
Sementara itu, jenama tempatan WMoto akan memberi tumpuan kepada motosikal sesaran kecil termasuk bawah 50 cc bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan yang lebih luas.
Lebih menarik dan bagi meningkatkan keyakinan pelanggan, MForce menawarkan jaminan selama tiga tahun tanpa had perbatuan untuk semua model yang dijual, langkah yang dilihat sebagai strategi penting dalam membina kepercayaan pengguna terhadap jenama MForce di pasaran baharu.









