MICHAEL Van der Mark Menang Perlumbaan 1 'Basah' Di Magny-Cours
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/7/20242 min read


PELUMBA Belanda, Michael van der Mark memikul tugasnya di pasukan ROKiT BMW Motorrad dengan baik susulan ketiadaan pendahulu kejuaraan, Toprak Razgatlioglu di Magny-Cours, Perancis dengan menjuarai Perlumbaan 1 WorldSBK yang berlangsung dalam keadaan litar basah, hari ini.
Sekalipun perlumbaan dimulakan dengan litar kering, hujan lebat yang melanda selepas itu menyaksikan hanya 12 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan daripada 22 pelumba yang berada di permulaan grid.
Dengan ada pelumba yang memilih untuk menggunakan tayar jenis kering dan pertengahan, antara pelumba yang menjadi 'mangsa' awal termasuklah pencabar terdekat Razgatlioglu, Nicolo Bulega.
Pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati itu terjatuh seawal pusingan pertama bersama pelumba pasukan Pata Prometeon Yamaha, Jonathan Rea.
Berikutan keadaan hujan semakin lebat, ramai pelumba memilih untuk memasuki pit untuk menukar tayar jenis basah dan antara terawal termasuklah penyandang juara, Alvaro Bautista.
Dan tindakan rakan sepasukan Bulega itu menukar tayarnya lebih awal akhirnya membuahkan hasil apabila Bautista yang memulakan perlumbaan di petak ke-17 melepasi garisan penamat sebagai naib juara.
Turut mendapat 'tuah' susulan keadaan hujan di Magny-Cours termasuklah pelumba pasukan Barni Spark Racing, Danilo Petrucci yang melengkapkan kedudukan podium sekalipun bermula di petak ke-10.
Sementara itu, antara pelumba yang menjadi 'mangsa' keadaan hujan dan pada satu ketika berjaya memimpin perlumbaan termasuklah pelumba pasukan Bonovo Action BMW, Garrett Gerloff dan pelumba Kawasaki Racing Team, Alex Lowes.
Memanfaatkan penggunaan tayar jenis 'intermediate', Gerloff cuba meletakkannya di depan sejauh mungkin tetapi ketika hujan semakin lebat, pelumba kelahiran Amerika Syarikat itu terjatuh.
Terpaksa menukar tayarnya di pit, tindakannya keluar daripada kawasan itu tanpa mengikut masa ditetapkan menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 susulan penalti yang dikenakan.
Untuk Lowes, pelumba kelahiran Britain itu terjatuh ketika cuba menjarakkan diri daripada Van der Mark. Dan sekalipun berjaya bangkit dan meneruskan perlumbaan, keadaan jenteranya yang mengalami kerosakan memaksanya menamatkan perlumbaan lebih awal.
Selain Bulega dan Rea, pelumba yang mengalami kemalangan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan termasuklah Tarran Mackenzie, Philipp Oettl, Tito Rabat, Ivo Lopes dan Sam Lowes.
Pengganti pelumba negara, Adam Norrodin di Misano, Ivo Lopes turut terjatuh dan menamatkan perlumbaan tanpa pungutan mata.
Keputusan Perlumbaan 1 WorldSBK Perancis 2024
Michael van der Mark (NED) ROKiT BMW Motorrad, BMW M 1000 RR, 40'27.006 saat (s)
Alvaro Bautista (ESP) Aruba.it Racing Ducati, Ducati Panigale V4 R, +8.288s
Scott Redding (GBR) Bonovo Action BMW, BMW M 1000 RR, +24.285s
Danilo Petrucci (ITA) Barni Spark Racing, Ducati Panigale V4 R, +34.037s
Andrea Iannone (ITA) Team Go Eleven, Ducati Panigale V4 R, +42.108s
Iker Lecuona (ESP) Team HRC, Honda CBR1000RR-R, +50.799s
Xavi Vierge (ESP) Team HRC, Honda CBR1000RR-R, +52.361s
Andrea Locatelli (ITA) Pata Prometeon Yamaha, Yamaha R1, +52.369s
Michael Ruben Rinaldi (ITA) Motocorsa Racing, Ducati Panigale V4 R, +1:11.573s
Alessandro Delbianco (ITA) GYTR GRT Yamaha, Yamaha R1, +1:18.169s
Axel Bassani (ITA) Kawasaki Racing Team, Kawasaki ZX-10RR, +1:25.369s
Garrett Gerloff (USA) Bonovo Action BMW, BMW M 1000 RR, +2:06.163s
Alex Lowes (GBR) Kawasaki Racing Team, Kawasaki ZX-10RR, DNF
Nicolo Bulega (ITA) Aruba.it Racing Ducati, Ducati Panigale V4 R, DNF
Jonathan Rea (GBR) Pata Prometeon Yamaha, Yamaha R1, DNF
Tarran Mackenzie (GBR) Petronas MIE Racing Team, Honda CBR1000RR-R, DNF
Bradley Ray (GBR) Motoxracing Yamaha, Yamaha R1, DNF
Remy Gardner (AUS) GYTR GRT Yamaha, Yamaha R1, DNF
Philipp Oettl (GER) GMT94 Yamaha, Yamaha R1, DNF
Ivo Lopes (POR) Petronas MIE Racing Team, Honda CBR1000RR-R, DNF
Sam Lowes (GBR) Marc VDS Racing Team, Ducati Panigale V4 R, DNF
Tito Rabat (ESP) Puccetti Racing, Kawasaki ZX-10RR, DNF
