MIGUEL Oliveira, 'Rookie' Pilihan Pramac Yamaha?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/25/20241 min read
YAMAHA berjaya menyambar Pramac Racing daripada Ducati untuk dijadikan pasukan satelit pengeluar Jepun itu dan tugas berikutnya adalah membariskan senarai pelumba - persoalan yang masih belum terjawab sehingga ini.
Tetapi berdasarkan perkembangan terbaharu, laporan Sky Italia menyatakan pencarian itu sudah pun berakhir dan berkemungkinan akan dimuktamadkan menjelang GP British 2024 di Silverstone, bulan depan.
Dan apa yang menariknya, Pramac Yamaha dikatakan memilih bekas pelumba pasukan KTM dan RNF Aprilia, Miguel Oliveira sebagai pelumba utamanya bagi musim depan.
Pelumba yang ketika ini beraksi bersama pasukan Trackhouse Aprilia dilaporkan akan ditawarkan kontrak selama dua tahun.
Selain Oliveira yang berusia 29 tahun, laporan Sky Itali turut menyebut pasukan itu juga dikatakan sedang menilai seorang pelumba daripada kampen Moto2, Tony Arbolino.
Arbolino dari Itali adalah pelumba yang menamatkan saingan Moto2 sebagai naib juara keseluruhan musim lalu di belakang Pedro Acosta.
Begitupun, prestasi pelumba pasukan Elf Marc VDS Racing itu pada musim ini tidak begitu menyakinkan selepas sekadar mengisi tangga ke-11 carta selepas sembilan pusingan.
Dan Yamaha dikatakan sedang melakukan penilaian terhadapi pelumba itu untuk beberapa lagi pusingan.
Pasukan 'kilang' Yamaha, Monster Yamaha setakat ini hanya sudah mengesahkan seorang pelumba bagi musim depan menerusi Fabio Quartararo namun belum ada pengesahan membabitkan Alex Rins.
Kehadiran Pramac Yamaha turut menyaksikan pengeluar Jepun itu akan membariskan empat jentera berstatus 'kilang' musim depan.