MINGGU Gemilang Danilo Petrucci Di Cremona

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/22/20241 min read

DANILO Petrucci memperoleh minggu yang 'sempurna' di Cremona, Itali selepas melengkapkan kemenangan hatrik pada Pusingan 9 WSBK 2024 dengan menjuarai Perlumbaan Superpole dan Ke-2, hari ini.

Selepas memenangi perlumbaan sulungnya di WSBK dengan memenangi Perlumbaan 1, semalam, pelumba kelahiran Itali itu membuktikan kejayaannya itu bukan nasib dengan kedua-dua perlumbaan diperoleh dengan mendahului perlumbaan dari awal sehingga garisan penamat.

Seperti diketahui, pendahulu kejuaraan dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu tidak berlumba susulan masih belum cergas sepenuhnya tetapi kemenangan Petrucci turut memberikan sedikit bantuan kepadanya.

Pada Perlumbaan Superpole, Ducati tidak berjaya menyapu bersih ketiga-tiga podium yang ditawarkan susulan tempat kedua diperoleh Alex Lowes dari Kawasaki Racing Team.

Dan pelumba GoEleven Ducati, Andrea Iannone melengkapkan kedudukan podium.

Pada Perlumbaan 2, Ducati mengembalikan penguasaannya dengan kedua-dua baki podium dirangkul duo Aruba.it Racing Ducati, Alvaro Bautista dan Nicolo Bulega.

Menuju aksi Pusingan 10 WSBK di Aragon, Sepanyol yang dijadual minggu depan, Razgatlioglu yang tidak beraksi di Cremona ketika ini hanya dibezakan 13 mata daripada pencabar terdekatnya, Bulega.