MINGGU Sukar Buat Hakim Danish, Danial Syahmi Di Catalunya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/20/20241 min read

HAKIM Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril masing-masing mengakui kempen Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Catalunya, Sepanyol tidak berlangsung seperti diharapkan.

Sedikit melegakan buat Hakim Danish, pelumba pasukan SIC Racing - Msi itu masih berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan dalam kedudukan mata - ke-11 dan ke-7.

Begitupun situasi lebih sukar dihadapi Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team apabila terpaksa menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-18 dan ke-11 pada Perlumbaan 2.

Keputusan yang diraih jelas jauh daripada sasaran yang diletakkan terutama Danial Syahmi yang pada pusingan sebelum ini berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-5.

Bagi Hakim Danish, dia mengakui bergelut pada sektor pertama di Catalunya dan di laluan lurus.

"Saya berjaya memperbaiki tunggangan pada Perlumbaan 2 dan saya juga bernasib baik apabila tidak terbabit dengan kemalangan di hujung perlumbaan yang betul-betul berlaku di depan saya," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Untuk itu, saya masih perlu banyak berlajar untuk bersaing di dalam kelompok supaya saya dapat bertambah baik lagi untuk perlumbaan selepas ini di Portimao," kata pelumba berusia 17 tahun itu yang beraksi pada musim pertamanya di JrGP.

Danial Syahmi dalam pada itu mengakui keyakinannya terhadap jenteranya berkurangan dan bergelut untuk berlumba seperti biasa berikutan masalah yang dihadapi di bahagian tayar belakang.

"Saya hilang keyakinan untuk mengambil selekoh seperti biasa kerana berdepan masalah dengan tayar belakang," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

"Kerana itu, susah untuk saya untuk bersaing dengan kelompok depan. Pada Perlumbaan 2, pasukan dapat memperbaiki sedikit jentera tetapi saya masih tidak mendapat keyakinan untuk berlumba seperti biasa.

"Apapun, dapat mengumpul 3 mata bboleh dikatakan baik daripada tidak mendapat apa-apa dan saya akan fokus kepada kejuaraan selepas ini dan memburu podium pertama saya," katanya.

Selepas aksi di Catalunya, Hakim Danish dan Danial Syahmi dijadual pulang ke tanah air.