MISANO Peluang Terakhir Hakim Danish Dapat Tiket Awal Ke Moto3, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/3/20241 min read

HAKIM Danish Ramli menuju ke Misano, Itali yang menjadi gelanggang pusingan terakhir Redbull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 bersama peluang yang masih terbuka untuk mengisi posisi tiga terbaik.

Sekalipun masih terbuka, begitupun secara realistiknya harapan itu tampak tipis berikutan jurang mata yang dimilikinya pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ini.

Menghuni tangga ke-6 carta pelumba ketika ini, Hakim Danish ketinggalan 47 mata di belakang rakan sepelaihnya dari Argentina, Valentin Perrone.

Justeru sekalipun secara matematik peluang berada di kedudukan tiga terbaik itu masih belum tertutup, apa yang perlu dibuat dan diharapkan oleh pelumba berusia 17 tahun itu nampak cukup berliku.

Untuk memintas Perrone, Hakim Danish perlu membuat keajaiban iaitu menang kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Misano sambil berharap Perrone tidak mengutip sebarang mata.

Masih segar dengan kemenangan di Aragon, Sepanyol minggu lalu, perlu diakui situasi ketika itu sememangnya memihak kepada Hakim Danish untuk merangkul kemenangan pertama kariernya di RBMRC.

Berlangsung dalam keadaan litar basah, pelumba yang berada di bawah pengurusan ZK Racing itu mendominasi penuh perlumbaan, mendahului dari awal sehingga akhir dan menang dengan kelebihan hampir 7 saat di depan pemenang tempat kedua, Brian Uriarte dari Sepanyol.

Dan kemenangan itu adalah kali ketiga Hakim Danish berjaya menjejakkan diri ke podium RBMRC musim ini selepas meraih tempat kedua di pusingan pertama di Jerez diikuti tempat ketiga pusingan kedua di Perancis.

Detik sukar Hakim Danish bermula pada pusingan di Assen, Belanda yang menyaksikannya bergelut untuk mengisi tempat ke kelompok depan sebelum dipalit kekecewaan di Red Bull Ring.

Selepas hanya meraih empat mata di Austria, dia sekali lagi melakukan kesilapan pada Perlumbaan 1 di Aragon sebelum menebusnya pada Perlumbaan 2.

Sebagai rekod ini adalah penampilan kedua Hakim Danish di RBMRC dan seperti diketahui, ada beberapa 'kekangan' tambahan perlu diharunginya berbanding pelumba di Eropah.