MISI Damok Buru Mata Di GP India, Danial Sasar 'Hambat' Kelompok Depan!

9/20/20231 min read

HAMPA dengan prestasi pada perlumbaan sebelum di Catalunya, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman menyasarkan untuk mengutip mata di Grand Prix India, hujung minggu ini.

Di India, pelumba yang dikenali sebagai Damok itu tidak keseorangan dan turut berlumba bersama rakan senegaranya, Danial Syahmi Sharil yang tiba sebagai pelumba 'Wildcard'.

Mengakui tidak sabar untuk beraksi di India, pelumba pasukan MT Helmets - Msi itu berkata dia mahu berikan yang terbaik pada perlumbaan sekalipun sedar tugas di Litar Antarabangsa Buddh itu tidak mudah.

"Ini litar yang baru buat semua pelumba, dan tentunya banyak perkara yang saya juga pasukan perlu fahami dan pelajari. Sudah pasti tidak mudah tetapi saya akan terus berkerja keras sejak dari awal.

"Saya akan berusaha untuk memberikan saingan sengit dan memperoleh mata dalam perlumbaan," kata Damok.

Sementara itu, Danial yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Vision Track Racing cukup bersyukur atas peluang yang diberikan kepadanya di India.

"Ini kali kedua saya beraksi dalam Kejuaraan Dunia, selepas saya gantikan Damok di GP Jerman sebelum ini," kata Danial.

"Paling penting saya dapat menunggang jentera Honda. Saya mempunyai pengalaman bersama jentera Honda selama dua tahun, jadi, mudah untuk saya lebih memahami dan mencari keserasian bersama jentera.

"Saya akan berkerjasama dengan ketua krew serta pasukan yang baru. Jadi, saya akan belajar secepat mungkin untuk beri 100 peratus di litar nanti dan saya akan beri komitmen yang lebih tinggi berbanding sebelum ini untuk berada dalam kelompok pelumba hadapan."

Selepas 12 pusingan perlumbaan, Damok ketika ini menduduki tangga ke-24 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 5 mata dengan Danial sudah pun melengkapkan kempen Red Bull Rookies Cup 2023 di tangga ke-16 keseluruhan.