'MISI Nak 'Kacau' Marc Marquez, Pecco Bagnaia'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/26/20251 min read


PELUMBA VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio melabel dua pilihan utama gelaran juara MotoGP musim ini, Pecco Bagnaia dan Marc Marquez sebagai pelumba yang dihimpit 'tekanan'.
Justeru, pelumba kelahiran Itali itu berkata rancangannya adalah untuk menjadi 'pengacau' kepada pertarungan membabitkan kedua-dua pelumba Ducati Lenovo itu.
Ini kerana selain Bagnaia dan Marquez, Di Giannantonio turut diberikan jentera spesifikasi terkini Ducati Desmosedici GP25 pada musim ini.
"Saya fikir kami mempunyai peluang yang menakjubkan untuk bertambah baik, belajar daripada yang terbaik di grid dan menunjukkan potensi kami," kata Di Giannantonio ketika pelancaran pasukan itu bagi musim 2025 di Jakarta.
"Sasaran dan misi kami pada tahun ini adalah untuk menikmati setiap detik bersama jentera 'kilang' yang bagi pasukan dan saya sendiri adalah pencapaian yang menakjubkan.
"Selain itu cuba memperbaiki prestasi pada tahun lalu selain cuba untuk berada di podium.
"Ia pasti menakjubkan untuk membandingkan diri kami dengan mereka (Pecco dan Marc), cuba untuk mencuri beberapa rahsia dan menganggu pertarungan di antara dua pelumba yang berada dalam tekanan.
"Kerana pada akhirnya, kami mempunyai jentera yang sama. Jadi saya mahu menjadi salah satu di antara mereka, salah satu yang terbaik.
"Jadi sasarannya adalah cuba untuk merapatkan diri serapat yang mungkin dengan mereka, dan jika boleh, mengapa tidak cuba untuk mengalahkan mereka? Sudah tentu sasaran yang saya letakkan adalah tinggi."
Di Giannantonio pada musim lalu berpeluang untuk menjadi pelumba kedua terbaik yang menggunakan jentera Ducati GP23 di belakang Marquez tetapi kempennya berakhir lebih awal susulan kecederaan yang dihadapinya.
Disebabkan tidak mahu kempennya pada musim ini 'terganggu', pelumba kelahiran Itali itu menjalani pembedahan lebih awal yang menyaksikannya terlepas dua pusingan - GP Malaysia dan Catalunya serta menamatkan kempen di kedudukan ke-10 keseluruhan.
