MISI Serampang 2 Mata Hakim Danish Di Phillip Island

Selepas aksi di Phillip Island, Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi akan pulang ke tanah air untuk mengharungi kempen GP Malaysia 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/21/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk mempamerkan tunggangan berkualiti tinggi pada Pusingan ke-18 Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Australia 2026 di Phillip Island, hujung minggu ini.

Sebelum ini, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu berdepan kesukaran pada aksi GP Indonesia di Mandalika apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari petak paling belakang.

Begitupun, pelumba muda berbakat besar kelahiran Terengganu itu membuktikan kehebatannya apabila berjaya bangkit menamatkan perlumbaan di Mandalika dalam kelompok pungutan mata.

"Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya," katanya.

Hakim Danish berkata, dia tidak sabar untuk beraksi di litar ikonik itu yang disifatkannya sebagai sangat menarik.

Mengulas lanjut mengenai persiapannya, pelumba berusia 19 tahun itu menjelaskan sudah melakukan latihan di Malaysia selain turut meneliti dan menilai semula kesilapan yang dilakukan dalam 2 perlumbaan terdahulu.

"Saya cuba memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri di GP Malaysia nanti," katanya.

Dalam pada itu, Hakim Danish turut berkongsi perkembangan positif mengenai tahap kesihatannya apabila kecederaan akibat kemalangan yang dialami sebelum ini dilaporkan semakin pulih.

"Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu sama sekali bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan aksi yang terbaik pada hujung minggu ini," katanya.